Berita Berita
Video tular belalai terpotong, gajah Pygmy Borneo cedera parah kini diburu untuk diselamatkan
KOTA KINABALU 20 Mei – Tatkala siasatan kes pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Tongod masih belum selesai, timbul pula satu lagi kes kritikal melibatkan seekor gajah spesies sama yang dikesan mengalami kecederaan parah pada bahagian belalainya di kawasan Felda Kalabakan Selatan, Tawau.
Menteri Pelancongan, Culture dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, insiden memilukan itu mendapat perhatian meluas netizen susulan penularan sebuah klip video di platform media sosial yang memaparkan visual jelas kecederaan serta kesan koyakan besar pada organ belalai mamalia berkenaan.
Bertindak atas aduan awam yang diterima sejak minggu lalu, sepasukan renjer Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah digerakkan bagi melancarkan operasi pencarian dan pemantauan bersasar di lapangan pada 13 dan 14 Mei lepas, namun haiwan itu dilaporkan gagal ditemui kerana dipercayai telah bergerak masuk ke kawasan hutan lebih dalam.
"Memandangkan gajah itu tidak berjaya dikesan, usaha menyelamat tidak dapat dimulakan pada peringkat tersebut. Tindakan lanjut akan bergantung kepada sebarang maklumat baharu sekiranya haiwan itu dilihat atau berdasarkan laporan tambahan yang diterima dari lapangan," katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Mengulas mengenai aspek klinikal dan rawatan, Jafry menjelaskan hasil maklum balas awal daripada pakar veterinar mendapati struktur kecederaan pada belalai berkenaan adalah sangat kompleks. Sekiranya prosedur kosmetik atau penyambungan semula (rekonstruksi) otot dilakukan, kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya dan mengembalikan fungsi normal belalai adalah tersangat rendah.
Malah, jika operasi menyelamat fizikal diaktifkan, ia memerlukan siri intervensi klinikal yang berat termasuk pembedahan membuang tisu rosak, pengurusan pemakanan khusus, kuarantin di penempatan sementara, serta pemantauan rapi selama satu hingga dua minggu.
"Bagaimanapun, pemerhatian awal menunjukkan luka tersebut memperlihatkan beberapa tanda penyembuhan walaupun proses penutupan luka tidak berlaku dengan sempurna.
"Pada peringkat ini, keadaan gajah tersebut belum menunjukkan tanda jangkitan serius yang boleh mengancam kelangsungan hidupnya secara segera. Oleh itu, intervensi veterinar tidak diperlukan buat masa ini. Namun langkah rawatan akan diaktifkan sekiranya keadaan bertambah buruk atau timbul komplikasi lanjut," jelas beliau lagi.
Menyentuh mengenai punca kejadian, kementeriannya tidak menolak beberapa kemungkinan termasuk andaian haiwan itu terkena jerat haram yang dipasang oleh pemburu atau penceroboh.
Selain faktor jerat, siasatan terperinci turut menjurus kepada kemungkinan kecederaan tidak sengaja akibat terkena objek tajam seperti alat penuaian (sabit atau pahat) yang digunakan di ladang kelapa sawit, khususnya jika peralatan tersebut tertinggal atau tersangkut di kawasan semak.
Sehubungan itu, Jafry menggesa orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang spekulasi liar yang boleh mengganggu siasatan dan memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah kekal komited melindungi gajah Borneo sebagai khazanah hidupan liar paling ikonik serta sebahagian daripada warisan alam sekitar negeri.
Berita berkaitan
May 20, 2026, 3:19 pm
'Saya terpaksa cari maksud kaduk naik junjung' - Tony Pua balas sindiran Asyraf Wajdi
May 20, 2026, 2:02 pm
Bayi tujuh bulan meninggal dunia ketika tidur dalam buaian di rumah pengasuh
May 20, 2026, 12:59 pm
"Cukup-cukuplah bekerjasama dengan mereka," - Akmal bidas pihak perlekeh titah Sultan
May 20, 2026, 12:40 pm
Guru wanita didakwa lakukan amang seksual terhadap anak murid 14 tahun
May 20, 2026, 12:11 pm
Pegawai kanan polis IPK Selangor maut jatuh bangunan di Vista Alam
May 20, 2026, 12:06 pm
