TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu titah Sultan Selangor: Asyraf Wajdi bidas Tony Pua 'biadap', dangkal adab terhadap Institusi Raja

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyelar keras kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua yang menyentuh peranan institusi beraja susulan titah Sultan Selangor berhubung penghayatan Rukun Negara.

Asyraf Wajdi menyifatkan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu sebagai biadap dan mencerminkan kedangkalan adab terhadap kedudukan institusi beraja di Malaysia, biarpun sering menampilkan imej kononnya celik terhadap aspek Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, kelancangan menyentuh dan mempersendakan titah diraja sama sekali tidak boleh berselindung di sebalik prinsip kebebasan bersuara, malah UMNO akan tetap berdiri teguh mempertahankan serta mendukung kedaulatan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab. Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Kritikan balas itu menyusul selepas Tony Pua mengeluarkan kenyataan semalam yang menegaskan bahawa struktur pentadbiran Malaysia berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan, di mana kuasa yang diperuntukkan kepada institusi diraja secara amnya adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.

Tony Pua dalam kenyataannya turut mendakwa rakyat Malaysia tidak hidup di bawah sistem mutlak yang membolehkan institusi beraja mengeluarkan sebarang titah bersifat mengikat atau menggubal seluruh landskap kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

Kontroversi tersebut mula tercetus ekoran titah rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki bersama bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari DAP, Ronnie Liu, untuk hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor.

Langkah itu dititahkan baginda bertujuan membolehkan kedua-dua pemimpin terbabit membaca, menghayati, serta memahami makna lima prinsip Rukun Negara secara mendalam agar mereka menjadi warganegara yang tahu menghormati kedaulatan Institusi Raja di samping memelihara adab kesopanan dan kesusilaan.

Pada masa yang sama, Sultan Selangor turut menzahirkan seruan kepada semua wakil rakyat di negeri Selangor supaya turun sendiri ke Dataran Selangor dua kali sebulan bagi membaca serta meneliti plak monumen Rukun Negara yang diwartakan di kawasan tersebut demi memperkukuh nilai patriotisme perwakilan rakyat.

+ - reset