Berita Berita
UKKM terima tajaan RM4.6 juta, lahir lebih ramai tenaga kerja profesional
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM) menerima sumbangan tajaan berjumlah kira-kira RM4.6 juta bagi memperkukuh pembangunan pendidikan serta melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang koperasi dan keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, dana berkenaan disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat dan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi (KWAPd) untuk tujuan biasiswa pelajar UKKM.
Menurut beliau, universiti yang baru beroperasi kira-kira dua tahun itu kini mempunyai lebih 108 pelajar serta menawarkan 10 program pengajian bermula daripada diploma hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).
“Separuh daripada pelajar kita merupakan penerima biasiswa, khususnya daripada koperasi dan Yayasan Bank Rakyat.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat dan KWAPd atas sumbangan tajaan yang diberikan berjumlah kira-kira RM4.6 juta. Wang ini akan digunakan bagi tujuan biasiswa pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kali Kedua UKKM di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut diumumkan sebagai canselor baharu UKKM menggantikan Ewon Benedick.
Mengulas hala tuju UKKM, beliau menggariskan empat pedoman utama universiti itu iaitu penglibatan industri dalam pendidikan, pembangunan kampus pintar berteraskan teknologi, tempoh pembelajaran lebih fleksibel serta memastikan graduan memiliki kemahiran dunia sebenar.
Katanya, UKKM juga mahu menjadi institusi pendidikan perniagaan dan kecerdasan buatan (AI) terbaik di Malaysia dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap teknologi digital dan AI.
“Kalau kita masih lagi buat cara universiti lama, kita akan ketinggalan. Kita perlu bergerak pantas,” katanya.
Oleh itu, beliau memaklumkan akan melaksanakan program “Business School in School” bermula Jun ini menerusi kerjasama dengan beberapa sekolah di seluruh negara bagi memperkenalkan pendidikan perniagaan dan koperasi kepada pelajar sekolah.
Menurutnya, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan muda khususnya daripada komuniti B40 dan M40 mengenai perniagaan .
Berita berkaitan
May 21, 2026, 11:05 pm
Peniaga maut, tong gas helium meletup di tapak ekspo Sungai Petani
May 21, 2026, 8:40 pm
AGC bantah semakan kehakiman kes NFA Zahid, mohon prosiding digantung
May 21, 2026, 3:33 pm
