Berita Berita
Peniaga maut, tong gas helium meletup di tapak ekspo Sungai Petani
SUNGAI PETANI 21 Mei – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak meletup di tapak ekspo berhampiran SP Plaza di sini pada Khamis malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.52 malam itu, mangsa dikenali sebagai Azmi Ahmad, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mangsa lelaki berusia 15, 36 dan 49 tahun mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, tong gas helium berkenaan digunakan bagi tujuan perniagaan belon kanak-kanak di tapak ekspo terbabit.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 8.05 malam dan mendapati berlaku letupan membabitkan sebuah tong gas jenis helium.
“Letupan itu melibatkan satu tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak sehingga menyebabkan empat mangsa terlibat.
“Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala tiga lagi mangsa cedera ringan,” katanya pada Khamis.
JBPM Kedah berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi tindakan selanjutnya.
Menurutnya, operasi turut melibatkan bantuan daripada PDRM dan KKM, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Berita berkaitan
May 21, 2026, 8:40 pm
AGC bantah semakan kehakiman kes NFA Zahid, mohon prosiding digantung
May 21, 2026, 3:33 pm
Remaja mengaku tendang muka budak 10 tahun hingga patah rahang
May 21, 2026, 2:54 pm
