Berita Berita
AGC bantah semakan kehakiman kes NFA Zahid, mohon prosiding digantung
KUALA LUMPUR 21 Mei – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan mengklasifikasikan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili AGC ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching.
Badan Peguam yang memfailkan permohonan berkenaan dengan menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid sebagai responden, antara lain memohon supaya keputusan NFA bertarikh 8 Januari lalu diisytiharkan tidak sah dan terbatal.
Mereka turut memohon deklarasi bahawa Peguam Negara telah melangkaui bidang kuasanya apabila mengambil keputusan tersebut.
Sebelum ini, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu.
AGC dalam kenyataannya memaklumkan siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia termasuk melibatkan aspek sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan.
Dalam prosiding sama, Nurhafizza turut memaklumkan AGC akan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang membenarkan rayuan Badan Peguam berhubung tindakan pendakwaan menghentikan prosiding selanjutnya terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengembalikan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman.
Sementara itu, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama di Mahkamah Persekutuan.
"Oleh itu, pihak kami memohon supaya prosiding semakan ini (berhubung NFA) digantung sehingga pihak-pihak kembali ke mahkamah untuk mengemas kini status di Mahkamah Persekutuan," katanya.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk memutuskan sama ada permohonan kebenaran Badan Peguam itu perlu didengar atau digantung sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Berita berkaitan
May 21, 2026, 11:05 pm
Peniaga maut, tong gas helium meletup di tapak ekspo Sungai Petani
May 21, 2026, 3:33 pm
Remaja mengaku tendang muka budak 10 tahun hingga patah rahang
May 21, 2026, 2:54 pm
