Berita Berita
Gagal sekat kandungan hina institusi Diraja, MCMC keluar Tuntutan Statutori terhadap Tiktok
PUTRAJAYA 21 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalannya mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan mengancam yang ditujukan kepada institusi diraja.
MCMC menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan tersebut diambil selepas penularan kandungan melibatkan satu akaun palsu yang kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut suruhanjaya itu, kandungan terbabit mengandungi kenyataan bersifat menghina, mengancam dan palsu selain turut menggunakan video yang dijana melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi.
“Kandungan itu mengandungi kenyataan yang jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina.
“Ia turut mengandungi video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi, yang bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, tuntutan statutori tersebut menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan di platform berkenaan.
“Tiktok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform selain memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut,” katanya.
Menurut MCMC, walaupun beberapa sesi makluman dan libat urus telah dilakukan sebelum ini, respons TikTok didapati masih tidak memuaskan khususnya dalam memastikan kandungan diturunkan segera dan menghalang penyebaran lanjut.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap institusi Perlembagaan,” menurut kenyataan itu lagi.
Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengambil tindakan kawal selia yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang sekiranya perlu bagi menangani penyalahgunaan platform media sosial.
Dalam masa sama, penyedia perkhidmatan media sosial diingatkan supaya bertindak lebih bertanggungjawab dan pantas dalam mengendalikan kandungan yang melanggar undang-undang atau boleh mengganggu ketenteraman awam, khususnya membabitkan isu sensitif 3R.
Berita berkaitan
May 21, 2026, 11:05 pm
Peniaga maut, tong gas helium meletup di tapak ekspo Sungai Petani
May 21, 2026, 8:40 pm
AGC bantah semakan kehakiman kes NFA Zahid, mohon prosiding digantung
May 21, 2026, 3:33 pm
Remaja mengaku tendang muka budak 10 tahun hingga patah rahang
May 21, 2026, 2:54 pm
