TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja mengaku tendang muka budak 10 tahun hingga patah rahang

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 21 Mei - Pelajar lelaki tingkatan lima mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan murid tahun empat dengan menendang muka hingga patah rahang, Jumaat lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyepak rahang mangsa lelaki berusia 10 tahun hingga cedera di sebuah taman permainan di Tongkang Pechah, di sini pada 9 malam, 15 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Berdasarkan laporan polis, pada 10 malam hari kejadian, mangsa pulang ke rumah dengan dan mengadu kepada keluarga bahawa dia dipukul tertuduh.

Ibu mangsa kemudian membawanya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan iaitu rahangnya patah.

Susulan itu, polis menahan tertuduh dan siasatan mendapati, tertuduh dikatakan bertindak kasar apabila basikal mangsa yang diletakkan berhampiran tertuduh telah tumbang serta mengena kaki tertuduh.

Tertuduh berang dan didakwa menyepak mangsa hingga dia jatuh dengan mulut berdarah.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Hasniza Che Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini bagi sebutan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah untuk tertuduh.

Sementara itu tertuduh dibenar ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

+ - reset