TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bedah siasat dedah bayi tujuh bulan meninggal di rumah pengasuh akibat tekanan pada leher

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 21 Mei – Punca kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang ditemukan tidak sedarkan diri ketika tidur di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa lalu disahkan akibat tekanan pada leher.

Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata, dapatan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau semalam.

"Hasil bedah siasat yang dilakukan Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif pada 11 pagi sehingga 4 petang itu di Hospital Rembau semalam mengesahkan terdapat tekanan di leher si mati.

"Kita masih menunggu keputusan ujian lanjutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengasuh wanita berusia 38 tahun itu telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga 25 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, wanita terbabit juga didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya mengambil upah menjaga kanak-kanak secara persendirian.

Sebelum ini, Azahar dilaporkan berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10 malam Selasa lalu selepas ibu mangsa menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bayinya tidak sedarkan diri.

Hasil siasatan mendapati bayi tersebut dijaga pengasuh berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Ketika kejadian, wanita itu dipercayai menidurkan bayi terbabit di dalam buaian dengan mulutnya diberikan puting jenis silikon.

Pengasuh tersebut hanya menyedari bayi berkenaan tidak sedarkan diri pada jam 5.40 petang ketika mahu memandikannya.

+ - reset