Berita Berita
Dua maut tertimbus tanah dedah lebih 200 pelombong haram ceroboh kawasan emas di Jeli, purata dapat 10 gram sehari
JELI 21 Mei – Aktiviti perlombongan emas secara haram di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah dekat sini dipercayai didalangi lebih 200 individu yang menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi mencari hasil lumayan.
Kegiatan itu kembali menjadi perhatian selepas dua lelaki maut akibat tertimbus tanah ketika dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan tanpa lesen petang semalam.
Difahamkan, kawasan ladang milik kerajaan negeri itu telah lama menjadi lokasi perlombongan emas haram dan aktiviti tersebut berlaku sejak puluhan tahun lalu.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah pelombong meningkat mendadak susulan harga emas yang semakin tinggi sehingga menarik minat lebih ramai individu untuk terlibat.
Selain penduduk tempatan, kegiatan itu turut disertai individu dari luar daerah yang menggunakan pam penyedut air bagi mendapatkan emas.
Walaupun kawasan berkenaan sering diserbu pihak berkuasa, puluhan mesin pam penyedut air masih dikesan berada di lokasi dan digunakan pelombong secara aktif.
Sumber berkata, kawasan ladang tersebut yang terletak kira-kira 30 minit dari laluan utama Kuala Balah sememangnya terkenal sebagai kawasan perlombongan emas haram sejak turun-temurun kerana dipercayai memiliki sumber emas berkualiti tinggi.
Katanya, ramai penduduk yang sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah kini beralih kepada aktiviti melombong emas kerana pendapatan lebih lumayan.
“Boleh dikatakan menerusi penggunaan pam penyedut air itu, setiap mesin mampu memperoleh purata 10 gram sehari yang menyebabkan semakin ramai berminat untuk melombong walaupun melakukan secara haram.
“Kawasan itu bukan kebal dari pihak berkuasa sebaliknya sering diserbu dan mesin turut dirampas oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG), namun kegiatan melombong ini ibarat kegiatan penyeludupan yang sukar ditangani.
“Hari ini kena serbu, mungkin sehari dua mereka berhenti, namun kembali semua menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.
Menurutnya, setiap mesin pam penyedut air dianggarkan berharga hampir RM2,000 dan kebanyakan pelombong akan mengubah suai mesin tersebut mengikut keperluan masing-masing.
“Sekiranya pelombong ini tidak mempunyai modal untuk membeli mesin, mereka tidak perlu bimbang kerana ada pihak yang akan menawarkan pemberian mesin dengan syarat hasil emas terbabit dijual kepada mereka.
“Boleh dikatakan sehingga kini untuk kawasan ini sahaja, sudah terlalu banyak mesin dirampas pihak berkuasa namun kegiatan perlombongan secara haram masih berlaku,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan dua lelaki yang maut akibat tertimbus tanah di kawasan Ladang Sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah petang semalam dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa yang maut berusia 32 dan 38 tahun.
Berita berkaitan
May 21, 2026, 11:05 pm
Peniaga maut, tong gas helium meletup di tapak ekspo Sungai Petani
May 21, 2026, 8:40 pm
AGC bantah semakan kehakiman kes NFA Zahid, mohon prosiding digantung
May 21, 2026, 3:33 pm
Remaja mengaku tendang muka budak 10 tahun hingga patah rahang
May 21, 2026, 2:54 pm
