Berita Berita
Selepas tiga tahun hilang: Pihak ekspedisi ME 2023 mohon Nepal isytihar kematian Muhammad Hawari
KUALA LUMPUR 30 Mei – Pihak pengurusan ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) kini memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan pengisytiharan rasmi kematian Muhammad Hawari Hashim yang telah hilang di Gunung Everest sejak lebih tiga tahun lalu.
Chef de Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor memaklumkan permohonan berkenaan telah disampaikan secara terus kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, untuk pertimbangan lanjut kerajaan negara tersebut.
Menurut beliau, ketiadaan dokumen deklarasi kematian rasmi daripada pihak Nepal walaupun selepas tempoh tiga tahun menyukarkan urusan keluarga Muhammad Hawari, terutamanya bagi menyelesaikan tuntutan insurans, hal ehwal pekerjaan, serta dokumentasi rasmi lain.
Wakil Kerajaan Nepal menyatakan kesediaan untuk membantu berhubung perkara yang dibangkitkan dan langkah seterusnya adalah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan berkenaan bagi mendapatkan pertimbangan serta tindakan lanjut, kata beliau kepada pemberita pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026) di ibu negara, Khamis lalu.
Sebelum ini, pihak ME 2023 telah mengemukakan laporan perubatan daripada Ketua Pegawai Perubatan Mountain Medical Institute, Dr Abhyu G kepada Kedutaan Malaysia di Nepal sebagai dokumen sokongan.
Laporan profesional itu menjelaskan peluang untuk seseorang terus hidup dalam tempoh lama di kawasan melebihi 8,000 meter adalah sangat rendah kerana berada di dalam "Zon Kematian" (Death Zone) akibat paras oksigen atmosfera yang ekstrem dan ancaman penyakit altitud tinggi.
Untuk rekod, Muhammad Hawari yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) pendengaran berusia 33 tahun dari Pulau Pinang, berjaya menawan puncak Everest pada 19 Mei 2023 sebelum dilaporkan hilang sehari kemudian di kawasan berhampiran puncak.
Dalam ekspedisi yang sama, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Kem 4 akibat komplikasi cuaca dan altitud.
Majlis Sambutan Hari Everest Sedunia yang disambut pada setiap 29 Mei itu turut meraikan empat pendaki legenda negara iaitu Datuk N Mohanadas Nagappan, Mohamad Asyraf Mohd Halim, Zainudin Lot, dan Azim Afif Ishak.
Sehingga kini, seramai 30 rakyat Malaysia telah berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu dengan pendaki terbaharu, Mohd Khafiz Bachok, 47, yang berjaya menawannya pada 18 Mei lalu.
Berita berkaitan
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 30, 2026, 11:25 am
Pembangunan saksama Sabah, Sarawak fokus utama Kerajaan MADANI memperkukuh keharmonian
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 11:26 pm
