TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lebih 600 restoran mamak berisiko gulung tikar, MIMCOIN rayu campur tangan kerajaan selesai isu tenaga kerja

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Mei - Lebih 600 restoran India Muslim (Mamak) di seluruh negara berdepan risiko gulung tikar susulan krisis kekurangan tenaga kerja asing yang semakin meruncing.

Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) berkata, keadaan itu kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan campur tangan segera kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presidennya, Dato' Hj. Abdul Hamid P.V., berkata angka 600 restoran yang berisiko ditutup itu hanya sebahagian daripada masalah sebenar yang sedang dihadapi industri berkenaan.

“Angka 600 buah restoran yang bakal ditutup ini hanyalah 'puncak gunung ais' (tip of the iceberg). Jika tiada penyelesaian konkrit dilakukan dalam masa terdekat, kita bakal menyaksikan lebih banyak premis terpaksa gulung tikar.

“Sektor restoran Mamak bukan sahaja menjadi nadi kepada budaya makan luar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, malah ia menyumbang secara signifikan kepada ekonomi domestik dan rantaian bekalan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengusaha restoran telah berusaha menarik pekerja tempatan dengan menawarkan gaji serta syarat perkhidmatan yang lebih baik, namun sambutan diterima masih tidak memberangsangkan.

Katanya, sektor pekerjaan 3D iaitu sukar, bahaya dan kotor dalam industri makanan dan minuman (F&B) masih bergantung kepada tenaga kerja asing bagi memastikan operasi premis dapat diteruskan, termasuk perniagaan yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata, sekatan dan pembekuan proses pengambilan pekerja asing selain kelulusan kuota yang perlahan turut memburukkan keadaan.

“Banyak premis terpaksa mengecilkan saiz operasi, memendekkan waktu perniagaan, atau beroperasi dengan kapasiti minimum yang akhirnya membawa kepada kerugian berterusan,” katanya.

Tambah beliau, penutupan restoran Mamak secara besar-besaran bukan sahaja menjejaskan pemilik perniagaan, malah memberi kesan kepada pekerja tempatan sedia ada seperti pengurus, juruwang dan pemandu.

Selain itu, katanya, situasi tersebut turut menjejaskan permintaan terhadap pembekal bahan mentah tempatan serta mengurangkan hasil cukai kerajaan.

Sehubungan itu, MIMCOIN menggesa kerajaan membuka semula atau melonggarkan syarat kuota pengambilan pekerja asing secara bersasar khusus bagi sektor F&B yang kritikal sebagai penyelesaian jangka pendek.

Persatuan itu turut meminta proses birokrasi permohonan dipermudahkan serta mempercepatkan kemasukan pekerja asing yang telah menerima kelulusan sebelum ini.

Pada masa sama, MIMCOIN mencadangkan supaya sesi dialog meja bulat diadakan segera melibatkan kementerian berkaitan dan persatuan peniaga India Muslim bagi merangka pelan tindakan menyeluruh untuk menangani isu tersebut.

“Kami tidak meminta kelonggaran tanpa kawalan, tetapi kami memohon pertimbangan yang munasabah demi kelangsungan perniagaan.

“Restoran Mamak adalah komponen ikonik dalam masyarakat Malaysia. Membiarkan 600 restoran ini runtuh tanpa pembelaan adalah satu kerugian besar kepada landskap ekonomi dan sosial negara,” katanya.

+ - reset