Berita Berita
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
KUALA LUMPUR 30 Mei – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan punca utama gangguan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) pada Rabu lalu kerana permohonan maaf sahaja dinilai tidak memadai.
Beliau berkata isu sebenar ialah sistem imigresen negara yang kritikal telah gagal berfungsi sekali lagi, sekali gus memaksa pemprosesan manual dan menyebabkan ribuan pengembara terperangkap dalam barisan panjang di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri perlu segera mendedahkan punca utama gangguan terbaru, jumlah sebenar pengembara serta pintu masuk terjejas, selain status semasa serta tarikh akhir penyiapan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, menteri juga perlu menjelaskan langkah konkrit yang diambil untuk mengelakkan gangguan di seluruh negara berulang sebelum projek NIISe bagi meningkatkan keupayaan jabatan itu disiapkan sepenuhnya.
Lip Eng menjelaskan bahawa NIISe dilancarkan pada 2021 untuk menggantikan MyIMMs yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2024, namun Malaysia masih bergantung kepada sistem lama yang boleh melumpuhkan operasi sempadan selama berjam-jam.
Selepas bertahun-tahun perolehan berbilion ringgit, penamatan kontrak, perolehan semula, dan semakan kos dilaksanakan, permohonan maaf disifatkan tidak lagi memadai untuk memuaskan hati rakyat serta pengembara.
Semalam, KDN dilaporkan berkata gangguan MyIMMs hampir empat jam pada Rabu lalu tidak membabitkan sebarang insiden keselamatan siber, sebaliknya berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem.
Pihak KDN memohon maaf dan memaklumkan sistem itu berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit selepas kerja-kerja pemulihan mula dimulakan oleh pasukan teknikal.
Gangguan MyIMMs pada Rabu lalu merupakan insiden kedua dalam tempoh sebulan selepas kejadian sama pada 23 April lalu yang menyebabkan ribuan pengembara terkandas kira-kira dua jam.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban dilaporkan berkata gangguan sedemikian boleh berulang sehingga NIISe beroperasi sepenuhnya dan pihak jabatan terpaksa “menghadapinya” buat masa ini sehingga sistem baharu siap.
Lim menegaskan bahawa jawapan sedemikian adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana Malaysia tidak boleh menguruskan sempadan abad ke-21 dengan sistem berusia 30 tahun serta alasan yang juga berusia 30 tahun.
Berita berkaitan
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:25 am
Pembangunan saksama Sabah, Sarawak fokus utama Kerajaan MADANI memperkukuh keharmonian
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 11:26 pm
