Berita Berita
Potong perbelanjaan menteri: Anwar tegaskan hasil penjimatan dipulangkan semula kepada rakyat
PENAMPANG 30 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kini sedang melaksanakan langkah penjimatan ketat membabitkan perbelanjaan menteri serta kementerian, dengan hasil potongan itu disalurkan semula sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Beliau menjelaskan bahawa semua peruntukan bagi kementerian akan dipotong untuk komponen perbelanjaan yang tidak perlu, namun pengecualian khas tetap diberikan bagi sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, dan pembangunan infrastruktur asas termasuk di Sabah.
Langkah penjimatan drastik itu merangkumi tindakan mengehadkan lawatan kerja menteri ke luar negara, kecuali bagi menghadiri mesyuarat wajib yang telah terikat dalam jadual antarabangsa seperti sidang kemuncak ASEAN, BRICS, atau APEC.
"Lawatan-lawatan sekadar belajar dan sebagainya semua dibatalkan di Persekutuan. Kemudian, lawatan itu pun kalau rombongannya enam orang, jadi dua. Kalau hotelnya sampai Royal Suite, diturun jadi Junior Suite," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; serta Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Selain menyekat perbelanjaan ke luar negara, Anwar memaklumkan penganjuran kursus-kursus kerajaan juga telah diubah dengan arahan tegas supaya ia diadakan di kemudahan milik jabatan kerajaan sendiri berbanding menyewanya di hotel-hotel mewah.
"Kalau kita tidak gunakan kebijaksanaan untuk cermat, negara tidak akan dapat diselamatkan. Wang ini yang diselamatkan dipindahkan (kepada rakyat)," ujar beliau lagi bagi menggambarkan kepentingan amalan tatakelola yang cekap.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha memperkukuh tatakelola serta membanteras amalan rasuah di negara ini bukanlah bermotifkan politik, sebaliknya ia merupakan agenda utama untuk memulihkan kedudukan kewangan negara.
Hasil daripada penjimatan dan pemulihan dana tersebut, kerajaan persekutuan dilaporkan telah berjaya menyalurkan peruntukan bernilai RM15.5 bilion kembali kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dana terselamat itu juga digunakan untuk membiayai projek pembaikan puluhan ribu tandas sekolah yang menelan belanja tambahan RM1 bilion, serta pemberian segera baucar buku RM100 kepada semua pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Sementara itu, dalam mendepani cabaran perkembangan geopolitik dunia yang tidak menentu, Perdana Menteri turut menyatakan pendirian dasar luar Malaysia yang kini mengambil pendekatan centrality (memusat dan bebas) berbanding sekadar bersikap neutral semata-mata.
"Kita tak gunakan neutrality, kerana kadang-kadang kalau ada kezaliman, keganasan, pembunuhan di tempat lain pun, kita tidak merasakan wajar untuk dibiarkan. Centrality maknanya bebas," kata beliau merujuk kepada kelantangan Malaysia menentang sebarang bentuk penindasan kemanusiaan.
Anwar menambah bahawa pendekatan dasar luar yang berprinsip namun kekal mesra pelabur itu telah menyumbang kepada peningkatan ketara dalam hubungan perdagangan serta pelaburan Malaysia dengan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China.
Berita berkaitan
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 30, 2026, 11:25 am
Pembangunan saksama Sabah, Sarawak fokus utama Kerajaan MADANI memperkukuh keharmonian
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 11:26 pm
