Berita Berita
Rupiah Indonesia catat paras terendah, RM1 kini bersamaan Rp4,511
KUALA LUMPUR 29 Mei – Nilai rupiah Indonesia terus menunjukkan penyusutan berbanding ringgit apabila hari ini melepasi paras psikologi Rp4,500.
Berdasarkan data platform pertukaran asing, mata wang Indonesia itu mencecah paras 4,506.62 berbanding ringgit setakat jam 4.11 petang.
Sejak awal tahun hingga kini, rupiah dilaporkan susut sekitar 9.56 peratus berbanding mata wang Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kelemahan rupiah dipengaruhi faktor asas ekonomi Indonesia yang ketika ini berdepan defisit berkembar melibatkan fiskal dan imbangan akaun semasa.
Menurut beliau, keadaan itu turut diburukkan dengan kebergantungan negara berkenaan terhadap import bahan api.
“Situasi itu berbeza dengan ekonomi Malaysia yang mana negara ini mencatatkan lebihan dagangan akaun semasa tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2026 berbanding 0.5 peratus pada suku keempat 2025.
“Di samping itu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terus berada dalam keadaan yang selesa iaitu AS$129.5 bilion setakat 15 Mei 2026 berbanding AS$125.5 bilion setakat 31 Disember 2025,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, pengukuhan ringgit turut dipacu asas ekonomi domestik yang kukuh, prospek pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing serta dasar yang mesra pelabur dan perniagaan.
Pada suku pertama 2026, ringgit mengukuh berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia seperti yang ditunjukkan melalui peningkatan 1.4 peratus dalam kadar pertukaran efektif nominal (NEER).
Ringgit juga meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku sama meskipun mata wang AS mengukuh susulan konflik di Asia Barat dan sentimen penghindaran risiko global.
Menurut BNM, pengukuhan ringgit disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta momentum pertumbuhan selain aliran masuk berterusan pelabur bukan pemastautin ke pasaran domestik.
Bank pusat itu berkata, walaupun berlaku sedikit volatiliti susulan konflik di Asia Barat dan jangkaan berkurangan terhadap pemotongan kadar dasar Rizab Persekutuan AS, prestasi ringgit kekal baik sejak awal tahun.
Sehingga 13 Mei 2026, ringgit mencatatkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar AS dan 2.9 peratus dari segi NEER.
Berita berkaitan
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 10:56 pm
Jemaah Malaysia pembersih, jadi contoh di Tanah Suci - Menteri Agama
May 29, 2026, 8:20 pm
JPN terima 1,575 permohonan ringkaskan nama panjang sejak 2024
May 29, 2026, 7:30 pm
PJ bakal dapat hospital kerajaan baharu, dibina secara vertikal di Taman Medan
May 29, 2026, 5:41 pm
KPM sambut baik pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar
May 29, 2026, 5:33 pm
Audit menyeluruh sistem LRT, MRT mungkin dilaksana - Anthony Loke
May 29, 2026, 5:00 pm
