Berita Berita
Pembangunan saksama Sabah, Sarawak fokus utama Kerajaan MADANI memperkukuh keharmonian
KUALA LUMPUR 30 Mei – Kerajaan MADANI bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan saksama serta berterusan melalui penyediaan peluang pendidikan lebih baik, akses kesihatan berkualiti, dan pembangunan infrastruktur asas yang menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan Pesta Kaamatan dan Gawai menyatakan bahawa komitmen tersebut juga bertujuan untuk memastikan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah.
Beliau menjelaskan bahawa sambutan Kaamatan dan Gawai merupakan perayaan kesyukuran yang berakar daripada tradisi serta warisan masyarakat Sabah dan Sarawak yang diraikan penuh makna dalam semangat kebersamaan, muafakat, dan penghargaan terhadap nikmat hasil bumi.
Di tengah-tengah kepelbagaian adat, bahasa, dan budaya yang mewarnai negara, sambutan ini menjadi peringatan bahawa kekuatan Malaysia sebenarnya terletak pada kemampuan memelihara keharmonian dalam kemajmukan, memperkukuh semangat persaudaraan, dan menyuburkan budaya saling menghormati, kata beliau lagi.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa perayaan tahunan ini mencerminkan betapa pentingnya semangat kebersamaan rakyat dalam usaha memperkukuh dan mengekalkan keharmonian landskap politik serta sosial negara.
Dalam hantaran yang sama, beliau tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai secara tulus kepada seluruh lapisan masyarakat Sabah dan Sarawak yang meraikannya.
Anwar menutup ucapan beliau dengan mendoakan agar sambutan perayaan pada tahun ini dapat membawa kemakmuran, keberkatan, serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang utama keharmonian Malaysia tercinta.
Berita berkaitan
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 29, 2026, 11:40 pm
SPRM teliti isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil cecah hingga RM24 juta
May 29, 2026, 11:26 pm
