Berita Berita
'Bukan hanya peguam atau doktor, setiap keluarga juga mesti ada seorang pustakawan' - Fadhlina
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Dalam usaha memupuk budaya ilmu dan membaca, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyeru agar setiap keluarga di Malaysia mempunyai seorang pustakawan dalam rumah mereka.
Seruan ini disampaikan ketika beliau merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa Pustaka, pagi tadi.
Simposium yang dianjurkan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini menghimpunkan lebih 150 peserta dari enam negara, Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan China.
Dalam ucapannya, Fadhlina menekankan dua perkara utama, menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti dan membangunkan ekosistem yang menyokong pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau menjelaskan bahawa budaya membaca tidak dapat berkembang tanpa gabungan kedua-dua aspek ini.
Beliau turut mengingatkan tentang inisiatif kerajaan, termasuk pemberian baucar buku bernilai RM100 untuk pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi bagi memastikan akses kepada buku berkualiti, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Di peringkat Kementerian Pendidikan, usaha ini dilaksanakan melalui pengukuhan perpustakaan sekolah, pusat sumber pendidikan dan pelbagai inisiatif pembacaan yang melibatkan kerjasama strategik pelbagai pihak.
“Kalau sebelum ini orang sebut setiap keluarga mesti ada seorang peguam atau doktor, seruan saya adalah setiap keluarga mesti ada seorang pustakawan,” katanya.
Fadhlina berharap simposium ini akan menjadi platform perkongsian idea, pengalaman dan penyelesaian bagi memperkukuh masa depan dunia kepustakaan, penerjemahan dan kecerdasan buatan, sejajar dengan usaha negara membangunkan ekosistem ilmu yang merentas sempadan bahasa dan disiplin.
Berita berkaitan
June 3, 2026, 8:33 pm
RON97, RON95 dan diesel turun 20 hingga 30 sen
June 3, 2026, 8:22 pm
Polis nafi kehilangan pendaki wanita di Gunung Batu Putih dikaitkan unsur jenayah
June 3, 2026, 8:13 pm
Bomba selamatkan kucing Parsi ekor tersepit spring kerusi urut
June 3, 2026, 3:09 pm
Azam Baki beri keterangan kepada polis, nafi dakwaan Albert Tei
June 3, 2026, 2:45 pm
Wanita PKR tekad pastikan kemenangan PH di semua DUN Johor - Fadhlina
June 3, 2026, 2:28 pm
