TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahmad Zahid mahu Bumiputera kuasai rantaian nilai industri, bukan sekadar jadi peniaga kecil, pengguna

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Jun – Usaha memperkasa ekonomi Bumiputera perlu beralih daripada sekadar meningkatkan penyertaan kepada penguasaan sebenar dalam sektor ekonomi bernilai tinggi, termasuk teknologi, industri halal dan ekonomi digital.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bumiputera tidak lagi boleh terus berada di peringkat bawahan rantaian industri sebagai peniaga kecil, pembekal sampingan atau pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu muncul sebagai pengeluar utama, pemilik teknologi dan peneraju pasaran.

Menurut beliau, penguasaan rantaian nilai secara menyeluruh menjadi kunci untuk memastikan Bumiputera mampu bersaing dalam landskap ekonomi baharu yang semakin dipacu oleh teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Bumiputera perlu keluar daripada ruang yang terhad dan berada di kedudukan yang lebih strategik dalam rantaian nilai negara. Itulah makna sebenar pemerkasaan ekonomi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dalam sektor halal misalnya, kekuatan Malaysia tidak boleh terhad kepada pensijilan semata-mata, sebaliknya perlu berkembang kepada penguasaan keseluruhan ekosistem industri.

Beliau menjelaskan bahawa penguasaan tersebut merangkumi pengeluaran bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan, logistik sehingga pemasaran dan penembusan pasaran antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan penubuhan konsortium syarikat pemangkin Bumiputera berskala besar bagi menghasilkan bahan mentah kritikal seperti gelatin halal, enzim dan bahan aktif farmaseutikal sebagai langkah strategik yang mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import.

Dalam masa sama, beliau mengakui ramai usahawan Bumiputera dalam sektor makanan dan francais memiliki produk berkualiti, namun masih berdepan cabaran dari segi kos operasi, skala perniagaan, pematuhan piawaian serta akses pasaran.

Menurutnya, pendekatan seperti pembelian secara berkumpulan, dapur komersial berpusat dan model inkubator francais boleh membantu memperkukuh daya saing usahawan tempatan melalui penjimatan kos dan penyeragaman kualiti produk.

Beliau turut menggesa lebih ramai usahawan dan golongan muda Bumiputera menceburi bidang berteknologi tinggi seperti aero-teknologi, dron, automasi dan industri berasaskan teknologi canggih.

Katanya, generasi muda Bumiputera tidak boleh sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi juruteknik, pereka bentuk, pembekal komponen, penyedia perkhidmatan dan akhirnya pemilik syarikat dalam rantaian industri tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata ukuran kejayaan ekonomi Bumiputera perlu dinilai semula agar tidak hanya tertumpu kepada jumlah penyertaan dalam sektor tertentu.

Beliau menjelaskan bahawa selama ini kejayaan sering diukur berdasarkan bilangan usahawan, pengguna platform digital atau penyertaan dalam ekonomi gig, sedangkan faktor pemilikan dan kawalan terhadap aset ekonomi lebih penting dalam menjamin kemampanan jangka panjang.

Menurutnya, dalam ekonomi digital moden, nilai sebenar bukan hanya terletak pada transaksi, tetapi juga pemilikan platform, penguasaan data dan penciptaan ekuiti.

Justeru, beliau mahu lebih banyak usaha dilakukan bagi membangunkan platform digital milik Bumiputera yang berdaya saing dan berpotensi menjadi jenama nasional.

Beliau turut menegaskan bahawa seluruh ekosistem ekonomi Bumiputera perlu digerakkan secara lebih bersepadu dengan menggabungkan dasar, modal, teknologi, bakat dan pasaran bagi membentuk satu gerakan ekonomi nasional yang mampu memberikan impak lebih besar.

“Apabila Bumiputera memiliki platform, menguasai teknologi dan menerajui rantaian nilai, kita bukan sahaja membina ekonomi yang lebih kukuh tetapi juga masyarakat yang lebih yakin terhadap masa depan mereka,” katanya.

+ - reset