TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Albert Tei belum terima saman fitnah, sedia dedah dakwaan terhadap Azam Baki di mahkamah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Jun – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mendakwa beliau masih belum menerima sebarang dokumen saman fitnah yang dilaporkan bakal difailkan terhadap dirinya sebelum ini.

Sambil menyatakan kesediaan untuk berdepan di mahkamah, Albert Tei berharap pihak lawan tidak memberikan sebarang alasan berhubung kelewatan penghantaran dokumen berkenaan memandangkan tempoh masa yang diperkatakan sebelum ini telah pun berlalu.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, beliau menegaskan bahawa proses mahkamah tersebut adalah ruang terbaik untuknya mendedahkan kepada umum mengenai segala dakwaan yang berlaku ketika Tan Sri Azam Baki memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam hantaran sama, beliau turut mendakwa bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengugutnya sewaktu masih memegang jawatan, manakala tindakan saman yang mahu diambil ketika ini pula disifatkan sebagai satu bentuk tekanan psikologi bagi menakut-nakutkannya.

Beliau menambah, memandangkan Azam kini tidak lagi memegang sebarang jawatan yang memberikan kekebalan institusi, sudah tiba masanya untuk segala tindakan lampau dipertanggungjawabkan secara telus melalui proses undang-undang yang sah.

Setakat laporan ini ditulis, tiada sebarang kenyataan balas atau maklum balas rasmi diperoleh daripada pihak Azam berhubung dakwaan terbaharu yang dikemukakan oleh ahli perniagaan berkenaan.

+ - reset