TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak perlu ke negeri lain atau Singapura' - Johor tawar gaji premium hingga RM4,000 untuk 'fresh grad' ​​​​​​​

By
|
Kongsi
image

 

BATU PAHAT 4 Jun – Anak muda Johor kini mempunyai peluang menikmati gaji premium mencecah RM4,000 ke atas tanpa perlu berhijrah ke negeri lain atau ke Singapura, hasil pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan baharu ke negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penawaran gaji yang lebih kompetitif itu diberikan mengikut kelayakan akademik serta tahap kemahiran teknikal yang dimiliki oleh pencari kerja.

"Graduan baharu sekarang, senang-senang insya-Allah berdasarkan kelayakan, boleh dapat RM4,000 ke atas.

"Kalau lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bergantung kepada tahap, boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 ke atas... ini antara inisiatif yang kita buat," katanya ketika berucap pada program Ayuh Johor Mahasiswa di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Menurut beliau, perkembangan tersebut membolehkan lebih ramai anak muda Bangsa Johor membina kerjaya di negeri sendiri tanpa perlu meninggalkan keluarga demi mendapatkan pendapatan yang lebih baik.

Onn Hafiz berkata, peningkatan peluang pekerjaan bergaji tinggi itu didorong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri ketika ini.

Katanya, kemasukan pelabur asing serta komitmen pelaburan baharu bernilai RM2 bilion daripada sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka dari Amerika Syarikat dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Johor.

Bagi memastikan peluang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan, kerajaan negeri menggerakkan kerjasama strategik menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).

Menurut beliau, Johor merupakan satu-satunya negeri yang menyelaraskan kerjasama melibatkan institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi berkaitan bagi memperkukuh pembangunan modal insan.

Beliau berkata, inisiatif itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi pengajian tinggi (IPT), Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta HRD Corp bagi melaksanakan padanan pekerjaan secara lebih agresif.

Hasil usaha berkenaan, JTDC berjaya memudah cara sebanyak 7,773 penempatan pekerjaan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan bagi memastikan rakyat Johor menjadi penerima manfaat utama daripada pelbagai pelaburan yang masuk ke negeri itu.

+ - reset