Berita Berita
Penguasaan ilmu mesti bertunjangkan akidah dan akhlak - Anwar
KUALA LUMPUR 4 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penguasaan ilmu dalam kalangan umat Islam perlu berteraskan akidah dan akhlak sebagai asas utama dalam membina masyarakat MADANI yang seimbang serta berdaya saing.
Beliau berkata, usaha menuntut dan mengamalkan ilmu merupakan tanggungjawab setiap Muslim, selain menjadi tunjang kepada pembangunan insan dan negara.
Menurut beliau, dalam kerangka Malaysia MADANI, keyakinan terhadap ilmu tidak boleh dipisahkan daripada nilai-nilai keimanan dan akhlak yang luhur.
“Dalam negara MADANI, teras keyakinan kita dalam penguasaan ilmu mesti bertunjangkan asas akidah dan akhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani yang dianjurkan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, di sini.
Masjid berkenaan merupakan antara kemudahan komuniti utama dalam pembangunan Presint Merdeka 118 milik PNB.
Majlis berkenaan menghimpunkan sejumlah ulama dan masyaikh dari dalam serta luar negara bagi memperkukuh jaringan keilmuan dan dakwah Islamiah di peringkat antarabangsa.
Antara tokoh yang hadir ialah Sheikh Muhammad Hydara Al-Jilani, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dan Sheikh 'Abd Allah Muhammad Bilal.
Turut menyertai majlis itu ialah Sheikh Dr. Walead Mohammad, Sheikh Mohammed Amin Kholwadia serta Sheikh Dr. Ahmed Mohamed Saad Al-Azhari.
Dalam pada itu, Anwar turut meluangkan masa meninjau pameran yang dianjurkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) berkaitan pelaksanaan kaedah Zakat al-Mustaghallat secara Khultah yang diperkenalkan bermula 25 Mei lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para masyaikh atas perkongsian ilmu, nasihat dan doa yang disampaikan sepanjang majlis berkenaan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas nasihat dan peringatan serta doa para masyaikh dalam majlis ini. Semoga doa dan harapan yang disampaikan malam ini menjadi barakah kepada Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Pada akhir ucapannya, Perdana Menteri mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menyahut seruan Allah SWT dan Rasulullah SAW untuk menghidupkan jiwa dengan ilmu, amal serta ketakwaan sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Anfal ayat 24.
Berita berkaitan
June 4, 2026, 11:52 pm
DUN Negeri Sembilan sah dibubar berkuat kuasa esok, laluan PRN Ke-16 dibuka
June 4, 2026, 5:30 pm
SBJK bukti tiada anak Malaysia harus tercicir daripada pendidikan – Fadhlina
June 4, 2026, 3:36 pm
Fokus tadbir negara ketika ini, tidak fikir soal pilihan raya umum - PM
June 4, 2026, 3:31 pm
Sultan Ibrahim titah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu laksana amanah tanpa pilih kasih
June 4, 2026, 3:19 pm
Albert Tei belum terima saman fitnah, sedia dedah dakwaan terhadap Azam Baki di mahkamah
June 4, 2026, 2:42 pm
