Berita Berita
Penjaga rumah kebajikan dipenjara 36 tahun, enam sebatan amang seksual lima kanak-kanak
AMPANG 4 Jun - Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.
Tertuduh, Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ho Kwong Chin pada Khamis.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 12 tahun bagi setiap tiga kumpulan pertuduhan yang dihadapinya dan memerintahkan kesemua hukuman tersebut dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu.
Keputusan itu menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara keseluruhan selama 36 tahun selain dikenakan enam sebatan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima penghuni sebuah pusat jagaan kanak-kanak milik pertubuhan kebajikan di Batu Caves, Gombak antara November 2025 hingga Mac tahun ini.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan amang seksual bukan fizikal pula dikemukakan mengikut Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan.
“Saya mengaku bersalah, minta kurang hukuman tuan,” katanya di mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon agar hukuman bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan tersebut melibatkan kanak-kanak dan memberi kesan mendalam kepada mangsa.
Menurut beliau, jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan kesalahan serius yang bukan sahaja mencabul maruah mangsa, malah meninggalkan trauma berpanjangan.
“Kes ini melibatkan lima mangsa yang semuanya kanak-kanak. Kesan jenayah yang dilakukan akan berlarutan sepanjang hayat mereka.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan berkenaan menceritakan pengalaman mereka kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.
Hasil siasatan mendapati mangsa didakwa dikejutkan daripada tidur sebelum tertuduh melakukan perbuatan berkenaan dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur pusat jagaan tersebut.
Mangsa turut diugut supaya tidak mendedahkan kejadian yang berlaku kerana bimbang dimarahi atau dipukul.
Pemeriksaan perubatan yang dijalankan di Hospital Selayang kemudiannya menemukan kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu pada beberapa mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu.
Ini bukan sabitan pertama melibatkan tertuduh. Pada 21 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Ampang turut menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan terhadapnya selepas dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.
Prosiding berkenaan turut dihadiri peguam pemerhati, S. Kirthen dan S. Premila yang mewakili waris mangsa serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.
Berita berkaitan
June 4, 2026, 11:52 pm
DUN Negeri Sembilan sah dibubar berkuat kuasa esok, laluan PRN Ke-16 dibuka
June 4, 2026, 11:08 pm
Penguasaan ilmu mesti bertunjangkan akidah dan akhlak - Anwar
June 4, 2026, 5:30 pm
SBJK bukti tiada anak Malaysia harus tercicir daripada pendidikan – Fadhlina
June 4, 2026, 3:36 pm
Fokus tadbir negara ketika ini, tidak fikir soal pilihan raya umum - PM
June 4, 2026, 3:31 pm
Sultan Ibrahim titah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu laksana amanah tanpa pilih kasih
June 4, 2026, 3:19 pm
