Berita Berita
DUN Negeri Sembilan sah dibubar berkuat kuasa esok, laluan PRN Ke-16 dibuka
KUALA LUMPUR 4 Jun - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa esok selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir jam 8.30 malam tadi.
Ini sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam satu sidang media khas malam ini berkata, pembubaran DUN itu diperkenankan selepas beliau menghadap Tuanku Muhriz bagi memohon pembubaran bagi membolehkan mandat baharu diperoleh daripada rakyat.
Langkah itu menyusuli siri perkembangan politik yang mencetuskan ketidaktentuan dalam pentadbiran negeri sejak beberapa minggu lalu.
Kemelut berkenaan bermula apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin berhubung cara kerajaan negeri mengendalikan kontroversi membabitkan empat Undang yang didakwa cuba menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Tindakan itu mencetuskan spekulasi mengenai masa depan kerajaan negeri dan kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran, sebelum kepimpinan tertinggi UMNO mengarahkan semua ADUN BN supaya terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO kemudiannya secara terbuka menyuarakan pandangan bahawa pembubaran DUN merupakan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kemelut politik yang berlarutan serta mengembalikan mandat kepada rakyat.
Dengan pembubaran DUN berkuat kuasa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, hari mengundi dan pengundian awal untuk PRN Negeri Sembilan.
Berita berkaitan
June 4, 2026, 11:08 pm
Penguasaan ilmu mesti bertunjangkan akidah dan akhlak - Anwar
June 4, 2026, 5:30 pm
SBJK bukti tiada anak Malaysia harus tercicir daripada pendidikan – Fadhlina
June 4, 2026, 3:36 pm
Fokus tadbir negara ketika ini, tidak fikir soal pilihan raya umum - PM
June 4, 2026, 3:31 pm
Sultan Ibrahim titah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu laksana amanah tanpa pilih kasih
June 4, 2026, 3:19 pm
Albert Tei belum terima saman fitnah, sedia dedah dakwaan terhadap Azam Baki di mahkamah
June 4, 2026, 2:42 pm
