Berita Berita
Bomba Perak teruskan operasi SAR Jaslinda secara skala kecil, pendakian Gunung Batu Putih ditutup sementara
TAPAH 4 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, kini diteruskan secara skala kecil selepas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi yang memasuki hari ke-12 itu akan melibatkan anggota bomba, malim gunung serta komuniti Orang Asli setempat bagi meneruskan usaha pencarian.
Menurut beliau, JBPM akan terus memberi bantuan berdasarkan sebarang penemuan baharu, maklumat terkini dan perkembangan semasa di lokasi kejadian.
“Sehingga hari ini, masih terdapat lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (STORM) JBPM Perak bersama dua malim gunung yang berada di lapangan di sektor pencarian dan dijangka keluar dari kawasan pencarian petang ini.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan bertindak mengumpul maklumat pergerakan individu atau kumpulan yang ingin terlibat dalam misi pencarian skala kecil ini dengan mendapatkan maklumat penyertaan sebelum dilaporkan kepada BBP Tapah bagi tujuan kelulusan memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal oleh Jabatan Perhutanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Perak telah menutup sementara laluan pendakian ke Gunung Batu Putih bagi aktiviti rekreasi sehingga dimaklumkan kelak.
Langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada operasi pencarian yang masih dijalankan serta memastikan keselamatan orang awam.
Jaslinda dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu, sekali gus mencetuskan operasi SAR berskala besar yang melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat.
Semalam, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim memaklumkan seramai 116 anggota daripada pelbagai agensi telah terlibat sepanjang operasi SAR yang dijalankan selama 11 hari.
Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi pencarian diteruskan berdasarkan petunjuk serta maklumat baharu yang diperoleh di lapangan.
Berita berkaitan
June 4, 2026, 11:52 pm
DUN Negeri Sembilan sah dibubar berkuat kuasa esok, laluan PRN Ke-16 dibuka
June 4, 2026, 11:08 pm
Penguasaan ilmu mesti bertunjangkan akidah dan akhlak - Anwar
June 4, 2026, 5:30 pm
SBJK bukti tiada anak Malaysia harus tercicir daripada pendidikan – Fadhlina
June 4, 2026, 3:36 pm
Fokus tadbir negara ketika ini, tidak fikir soal pilihan raya umum - PM
June 4, 2026, 3:31 pm
Sultan Ibrahim titah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu laksana amanah tanpa pilih kasih
June 4, 2026, 3:19 pm
Albert Tei belum terima saman fitnah, sedia dedah dakwaan terhadap Azam Baki di mahkamah
June 4, 2026, 2:42 pm
