Berita Berita
SBJK bukti tiada anak Malaysia harus tercicir daripada pendidikan – Fadhlina
KUALA LUMPUR 4 Jun – Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) terus membuktikan bahawa setiap anak Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang, termasuk golongan rentan dan kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendekatan pendidikan manusiawi yang dilaksanakan melalui SBJK bukan sahaja membuka akses kepada pendidikan, malah berjaya mengubah kehidupan murid-murid yang sebelum ini berdepan pelbagai kekangan sosial dan ekonomi.
Beliau berkata demikian selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli melawat SBJK serta menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2026.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui SBJK sentiasa komited memastikan tiada anak Malaysia tercicir daripada arus pendidikan, khususnya mereka yang datang daripada kelompok masyarakat yang terdedah kepada risiko kemiskinan dan keciciran sekolah.
“SBJK mengangkat martabat insan dengan menyediakan akses pendidikan kepada anak-anak warganegara Malaysia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta golongan rentan.
“Pendidikan manusiawi memanusiakan manusia dan memastikan tiada anak Malaysia yang terpinggir daripada peluang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek naik taraf bangunan dan kemudahan sekolah tersebut telah siap sepenuhnya, melibatkan pembinaan serta penambahbaikan blok akademik dan asrama.
Katanya, kemudahan baharu itu akan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam masa sama, Fadhlina berkata pencapaian akademik murid SBJK membuktikan bahawa peluang pendidikan yang diberikan mampu menghasilkan kejayaan cemerlang.
Menurut beliau, sekolah berkenaan berjaya mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025.
“Anak-anak SBJK telah membuktikan bahawa apabila peluang diberikan, mereka mampu mencapai kecemerlangan yang membanggakan,” katanya.
Selain kejayaan akademik, beliau berkata beberapa alumni SBJK kini sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam, manakala ramai lagi telah berjaya membina kerjaya dalam pelbagai bidang.
Fadhlina menegaskan bahawa pendidikan merupakan instrumen paling berkesan untuk memutuskan kitaran kemiskinan yang diwarisi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Hanya menerusi pendidikan, putaran ganas kemiskinan dapat diputuskan dan taraf kehidupan dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong terhadap kebajikan dan pendidikan golongan rentan, yang disifatkan sebagai suntikan semangat kepada warga sekolah untuk terus melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Berita berkaitan
June 4, 2026, 11:52 pm
DUN Negeri Sembilan sah dibubar berkuat kuasa esok, laluan PRN Ke-16 dibuka
June 4, 2026, 11:08 pm
Penguasaan ilmu mesti bertunjangkan akidah dan akhlak - Anwar
June 4, 2026, 3:36 pm
Fokus tadbir negara ketika ini, tidak fikir soal pilihan raya umum - PM
June 4, 2026, 3:31 pm
Sultan Ibrahim titah Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu laksana amanah tanpa pilih kasih
June 4, 2026, 3:19 pm
Albert Tei belum terima saman fitnah, sedia dedah dakwaan terhadap Azam Baki di mahkamah
June 4, 2026, 2:42 pm
