TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Loke akui DAP masih sukar tembus keyakinan pengundi Melayu biarpun sudah enam dekad di Malaysia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 Jun – DAP mengakui masih berdepan cabaran besar untuk meraih keyakinan pengundi Melayu, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun parti itu telah bertapak selama enam dekad dalam landskap politik negara.

Menurut laporan Berita Harian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, usaha memperkukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu perlu dibina atas keyakinan terhadap parti secara keseluruhan dan bukannya bergantung kepada individu tertentu.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan bahawa keputusan parti untuk tidak mengekalkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim di kerusi yang disandang sebelum ini merupakan usaha menyekat kemaraan pemimpin Melayu dalam DAP.

"DAP sebuah parti berusia 60 tahun. Kami bertahan menghadapi semua cabaran dan tiada seorang individu lebih besar daripada parti. Parti itu sentiasa yang utama. Parti ini ada untuk kekal. Kami ialah sebuah parti untuk rakyat Malaysia.

"Pemimpin datang dan pergi. ADUN, Ahli Parlimen datang dan pergi, tetapi parti itu tetap kekal. Prinsip saya sentiasa meletakkan parti itu lebih besar daripada mana-mana individu," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP di Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut Loke, tiada mana-mana pemimpin dalam parti itu boleh menganggap kedudukan mereka lebih penting daripada perjuangan dan kelangsungan parti.

"Kami ialah Ahli Parlimen. Kami ialah ADUN. Hari ini kami menteri kerana DAP, bukan kerana kekuatan individu. Jadi saya tidak percaya dan saya menolak idea bahawa seorang (pemimpin) sahaja boleh mempengaruhi (sokongan terhadap sesebuah) parti itu," katanya.

Mengulas persiapan menghadapi PRN Johor, Loke berkata rundingan agihan kerusi dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) kini berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, DAP berkemungkinan akan bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meningkat berbanding 14 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri lalu.

"Kami sedang melihat untuk bertanding di 17 kerusi, lebih kurang ada satu kerusi (tambahan itu) yang sudah dimuktamadkan. Tetapi disebabkan rundingan akhir antara PKR dan AMANAH, (jumlah akhir) akan dimuktamadkan dalam satu atau dua hari akan datang.

"Namun, saya boleh katakan bahawa DAP kemungkinan akan bertanding di 17 kerusi DUN dalam PRN akan datang di Johor ini," katanya.

Pada PRN Johor yang berlangsung pada Mac 2022, DAP bertanding di 14 kerusi DUN dan berjaya memenangi 10 daripadanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas berhubung urusan PRN Johor Ke-16 pada 12 Jun ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting termasuk writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian.

+ - reset