Berita Berita
Jaslinda jumpa nota ditinggalkan pasukan SAR di Kem Air Busuk ketika sesat
TAPAH 7 Jun – Pendaki yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman, Jaslinda Saludin, 49, sempat menemukan nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk beberapa hari sebelum beliau ditemukan selamat.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Jaslinda menemukan nota berkenaan sebaik tiba di kawasan tersebut pada 5 Jun lalu.
Menurut beliau, nota itu kemudiannya dibawa keluar oleh Jaslinda sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba selepas beliau berjaya ditemui.
Katanya, nota tersebut ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis, ketika pasukan SAR menjalankan operasi pencarian di kawasan berkenaan.
"Jaslinda yang ditemukan semalam membawa nota itu dibawa keluar bersamanya sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba.
"Nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) Hafis di Kem Air Busuk semasa membuat pencarian di kawasan berkenaan di mana fokus pencarian bermula dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk pada 30 Mei lalu.
"Jaslinda pula hanya sampai ke kawasan berkenaan 5 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan nota tersebut, MGP Hafis meninggalkan pesanan ringkas kepada pendaki berkenaan yang berbunyi, "Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai mencari."
Terdahulu, media melaporkan Jaslinda yang hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah, ditemukan selamat petang semalam selepas lebih dua minggu operasi pencarian dijalankan.
Sebelum kejadian, Jaslinda bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung – Gunung Bah Gading –Gunung Batu Putih – Kuala Woh.
Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti seketika daripada meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, Jaslinda kemudiannya meneruskan pendakian ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.
Kehilangannya mencetuskan operasi SAR berskala besar yang melibatkan pelbagai agensi sebelum beliau akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat.
Berita berkaitan
June 7, 2026, 11:14 pm
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
June 7, 2026, 9:03 pm
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
June 7, 2026, 6:51 pm
