TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas pandu Porsche tersilap tekan pedal minyak sebelum terbabas rempuh lobi hotel di Georgetown

By
|
Kongsi
image

 

GEORGE TOWN 7 Jun – Suasana di sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini gempar apabila sebuah kereta mewah jenis Porsche 911 Carrera terbabas dan merempuh ruang lobi hotel selepas pemandunya dipercayai tersilap menekan pedal minyak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, wanita berusia 61 tahun yang memandu kenderaan berkenaan dikatakan sedang berada di kawasan parkir berhampiran lobi sebelum hilang kawalan terhadap keretanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika wanita terbabit ingin pulang selepas melawat ahli keluarganya.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati kemalangan berlaku semasa pengadu ingin pulang selepas melawat keluarganya dan telah tersilap tekan pedal minyak kereta lalu terlanggar lobi hotel tersebut.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun bahagian lobi hotel mengalami kerosakan akibat rempuhan tersebut, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu atau orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk bagi menilai jumlah kerugian yang dialami pihak hotel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan perhatian yang munasabah.

+ - reset