Berita Berita
'Bank sukar beri pampasan jika mangsa sendiri serah maklumat kepada scammer' - Syed Ahmad
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR 10 Jun – Mangsa penipuan dalam talian yang secara sukarela mendedahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, nama pengguna atau kod keselamatan kepada scammer mungkin tidak layak menerima pampasan daripada bank.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar, pengguna juga perlu memainkan peranan dalam menjaga keselamatan maklumat perbankan masing-masing.
“Jika pelanggan sendiri memberikan kata laluan, nama pengguna atau maklumat keselamatan kepada scammer, maka adalah sukar untuk bank menawarkan pampasan kerana tiada kelemahan pada pihak bank,” katanya dalam sidang media Acara Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026.
Beliau berkata, bank hanya akan mempertimbangkan pampasan sekiranya siasatan mendapati terdapat kelemahan atau kekurangan dalam proses serta kawalan keselamatan yang dilaksanakan institusi kewangan berkenaan.
“Setiap kes dinilai secara berasingan. Jika terdapat kelemahan pada pihak bank, maka bank terbuka untuk mempertimbangkan pampasan atau sebahagian pampasan kepada pelanggan,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut selaras serta mengikut kehendak dan garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan yang semakin canggih oleh sindiket scam.
Katanya, beliau menggalakkan pelanggan memanfaatkan ciri keselamatan yang disediakan bank seperti 'kill switch', 'money lock' dan 'money vault' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
“Pengguna perlu bertanggungjawab melindungi aset dan kewangan mereka sendiri,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa bank-bank di Malaysia akan terus memperkukuh sistem keselamatan serta menjalankan latihan berterusan kepada kakitangan bagi menghadapi ancaman penipuan yang sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi.
Berita berkaitan
June 11, 2026, 11:20 am
Agong tarik balik gelaran 'Tan Sri' Isa Samad susulan sabitan rasuah
June 10, 2026, 9:17 pm
Pendulang emas ditemukan lemas di Gua Musang, dipercayai diserang sawan
June 10, 2026, 9:14 pm
JIM serbu enam premis dikendalikan warga asing di Sepang
June 10, 2026, 9:09 pm
Pelajar sekolah cedera terjatuh tingkat empat di Pontian
June 10, 2026, 9:05 pm
Lelaki Rohingya ditahan JPJ, selamba tunggang motosikal tanpa lesen
June 10, 2026, 8:58 pm
Hubungan dingin PAS-BERSATU: Anwar nafi ura-ura BERSATU sertai PH
June 10, 2026, 7:10 pm
Kes ugut NFA, Azam Baki bersyukur kebenaran akhirnya terbukti
June 10, 2026, 6:47 pm
‘Flat haram’ di Sungai Tekali akan dirobohkan
June 10, 2026, 6:34 pm
Lelaki maut ditikam dalam pergaduhan Changkat Lada
June 10, 2026, 6:10 pm
