TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu Rohingya membarah: Ayob Khan tegas pendaratan PATI perlu penyelesaian komprehensif

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Jun – Isu penempatan haram etnik Rohingya yang semakin meruncing di negara ini tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai agensi dan negara luar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, krisis yang berlarutan sekian lama ini melibatkan rantaian yang kompleks merangkumi isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), keselamatan negara, serta aspek kemanusiaan.

Berdasarkan statistik sehingga April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, seramai 197,591 adalah warga Myanmar dengan etnik Rohingya membentuk komuniti terbesar iaitu seramai 128,200 orang.

"Ini bukan isu baharu dan ia memerlukan penyelesaian yang lebih komprehensif kerana melibatkan pelbagai pihak. PDRM merupakan pihak terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan mengambil tindakan sekiranya mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.

"Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Lawatan Sempena Hari Polis di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Operasi berterusan, flat Rohingya digempur

Mengulas tindakan penguatkuasaan domestik, Ayob Khan memberi jaminan bahawa operasi membanteras penempatan haram PATI, termasuk etnik Rohingya, sentiasa dilaksanakan secara konsisten.

Sebagai contoh, beliau mematikan laporan mengenai serbuan terbaharu di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat yang menyaksikan seramai 42 individu ditahan oleh pihak berkuasa, seumpama dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang pada 9 Jun lalu.

Pusat transit di Laut Andaman cetus persoalan baharu

Apabila ditanya mengenai cadangan mewujudkan sebuah pusat penempatan atau pulau transit khas untuk pelarian Rohingya di sekitar Laut Andaman, Ayob Khan menjelaskan pelbagai implikasi besar perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Beliau mempersoalkan kos pembiayaan, pihak yang bertanggungjawab menguruskan fasiliti tersebut, serta kesediaan negara ketiga untuk menerima golongan pelarian ini selepas proses saringan selesai dilakukan.

Lebih membimbangkan, beliau berpandangan kewujudan pusat transit sedemikian dikhuatiri boleh menjadi 'faktor penarik' (pull factor) yang akhirnya dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan manusia untuk membawa masuk lebih ramai migran haram ke rantau ini.

+ - reset