TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'AI hanya bantu analisia, bukan ganti manusia buat keputusan dalam perniagaan' - CEO MDEC

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Pemilik perniagaan diingatkan supaya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan untuk meningkatkan kecekapan operasi, namun tidak menyerahkan proses penilaian dan keputusan akhir kepada teknologi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Anuar Fariz Fadzil berkata, walaupun AI mampu menganalisis data, merumuskan maklumat kompleks dan membantu syarikat menilai pelbagai pilihan, keputusan muktamad tetap perlu dibuat oleh manusia.

“Jangan sekali-kali menyerahkan proses pertimbangan kepada AI. Akhirnya, anda yang perlu membuat keputusan kerana itulah yang menjadikan kita manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi pemimpin perniagaan, proses membuat keputusan turut melibatkan pelbagai faktor penting yang tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi, termasuk risiko perniagaan, pematuhan peraturan, kesan terhadap pekerja dan pelanggan, reputasi syarikat serta strategi jangka panjang.

Menurutnya, AI boleh mempercepatkan proses analisis dan mengemukakan beberapa pilihan yang berpotensi, namun tanggungjawab terhadap hasil keputusan tersebut perlu kekal di bawah pihak yang mengendalikan perniagaan.

“AI dapat mempercepat analisis dan mengemukakan kemungkinan pilihan tetapi tanggungjawab untuk hasilnya perlu kekal pada mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya.

Anuar Fariz berkata, penggunaan AI kini menjadi semakin penting dalam dunia perniagaan moden, seumpama peranan e-mel yang suatu ketika dahulu mengubah cara organisasi beroperasi.

Jelas beliau, syarikat yang gagal memahami dan memanfaatkan teknologi itu berisiko ketinggalan dalam persaingan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemilik perniagaan dan pengurusan tertinggi perlu memainkan peranan aktif dalam penggunaan AI dan tidak menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada pekerja, pasukan teknologi atau perunding luar.

Katanya, kepimpinan organisasi perlu memastikan penggunaan AI dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan selari dengan objektif perniagaan bagi menjamin manfaat teknologi itu dapat dimaksimumkan tanpa menjejaskan aspek tadbir urus dan akauntabiliti.

+ - reset