TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengangguran Malaysia naik semula ke paras 3.0 peratus pada April

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA, 11 Jun — Kadar pengangguran Malaysia meningkat semula kepada 3.0 peratus pada April 2026 dengan jumlah penganggur mencecah 511,800 orang, meskipun pasaran buruh negara terus mencatat pertumbuhan sederhana dan jumlah penduduk bekerja bertambah.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan kadar pengangguran pada April meningkat 0.1 mata peratus berbanding 2.9 peratus yang direkodkan pada Mac lalu, sekali gus kembali ke paras yang pernah dicatatkan pada Oktober 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penduduk bekerja bagaimanapun terus menunjukkan peningkatan kepada 16.82 juta orang pada April berbanding 16.80 juta orang pada bulan sebelumnya.

Menurut beliau, kategori pekerja yang merangkumi 75 peratus daripada keseluruhan penduduk bekerja turut meningkat sedikit sebanyak 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang berbanding 12.60 juta orang pada Mac.

“Pada masa sama, bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding 3.14 juta orang pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas mengenai situasi pengangguran, Mohd Uzir berkata, golongan penganggur aktif yang boleh bekerja dan sedang mencari pekerjaan mewakili 79.5 peratus daripada keseluruhan penganggur.

Kumpulan itu meningkat 0.3 peratus kepada 407,100 orang pada April, dengan 63.9 peratus daripada mereka menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala lima peratus menganggur melebihi setahun.

Pada masa sama, bilangan penganggur tidak aktif yang terdiri daripada individu yang percaya tiada pekerjaan tersedia turut meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada Mac.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata prestasi keseluruhan pasaran buruh negara kekal positif apabila tenaga buruh meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada April 2026, sejajar dengan perkembangan ekonomi negara yang kekal stabil,” katanya.

Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.

+ - reset