TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Teach You a Lesson': Asyraf Wajdi samakan watak bekas komando dengan warden tentera MRSM

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 11 Jun – Sebuah drama bersiri popular dari Korea Selatan bertajuk Teach You a Lesson mencuri perhatian netizen tempatan selepas jalan ceritanya dikaitkan dengan ketegasan dasar sifar buli yang dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Isu tersebut dikongsikan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Threads selepas namanya kerap ditandakan oleh pengguna media sosial yang menyarankan beliau menonton drama berkenaan.

Asyraf Wajdi berkata, selepas meluangkan masa menonton episod pertama, beliau melihat ada persamaan ketara antara watak utama drama itu dengan inisiatif Mara yang melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM.

“Rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin, bekas komando yang menjadi pegawai utama biro perlindungan hak pendidikan dengan bekas tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di MRSM. Kedua-duanya mempunyai fungsi sama untuk menangani isu buli di sekolah. Prinsip saya, #YouTouchYouGo,” katanya.

Beliau menambah, pengajaran terbesar daripada naskhah Korea itu adalah komitmen untuk menangani gejala buli secara telus tanpa sebarang cubaan 'menyapu ke bawah karpet' atau menyembunyikan kes demi menjaga reputasi dan imej sesebuah institusi pendidikan.

Menurut Asyraf, pendekatan menempatkan veteran tentera sebagai warden sepenuh masa di asrama MRSM kini membuahkan hasil positif apabila kes-kes salah laku disiplin dan buli dalam kalangan pelajar menunjukkan penurunan yang ketara.

Langkah ini bukan sahaja memperkasakan tahap disiplin pelajar, malah secara langsung meringankan beban tugas para guru yang sebelum ini terpaksa memikul tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama selepas tamat waktu persekolahan.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut mendedahkan pengalamannya mengendalikan satu kes buli berprofil tinggi membabitkan anak kepada seorang individu berpengaruh pada awal tempoh pelantikannya sebagai Pengerusi Mara.

Dedah beliau, pihak pengurusan pada mulanya menyatakan kebimbangan untuk mengambil tindakan disiplin yang tegas memandangkan bapa kepada pelaku mempunyai pengaruh politik yang kuat serta sering menghulurkan sumbangan kepada institusi terbabit.

Bagaimanapun, sebaik menerima aduan terus daripada ibu bapa mangsa menerusi media sosial, Asyraf mengarahkan agar tindakan tegas diambil serta-merta tanpa sebarang kronisme atau pilih kasih.

“Saya nyatakan pendirian tegas untuk ambil tindakan tanpa kompromi dalam isu buli. Bapa pelaku kemudian meminta rayuan tetapi saya tidak layan, malah memaklumkan pegawai supaya tidak mengatur sebarang pertemuan jika pelajar itu sudah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab,” tegasnya lagi.

+ - reset