TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kepelbagaian kaum umpama simfoni orkestra, hargai keamanan negara — Nga Kor Ming

By
|
Kongsi
image

TAIPING 14 Jun – Rakyat Malaysia diseru untuk terus memelihara perpaduan kaum sedia ada sebagai pasak utama dalam menjamin kelangsungan keamanan, kestabilan, serta kemakmuran ekonomi negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumpamakan hubungan masyarakat majmuk di negara ini seperti setiap alat muzik dalam sebuah simfoni orkestra yang perlu dimainkan secara harmoni bagi menghasilkan alunan persembahan yang indah.

Beliau turut menegaskan bahawa kepelbagaian yang dimiliki Malaysia merupakan satu kekuatan unik dan bukannya kelemahan, sekiranya ia dipandu dengan sikap saling memahami dan menghormati.

“Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, kita perlu sentiasa menghormati dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Jika terus bertelagah, ia bukan sahaja tidak membantu negara maju, malah boleh mengundang lebih banyak kerosakan dan ketidakstabilan.

"Ketika negara menghampiri musim pilihan raya, rakyat tidak seharusnya membiarkan perbezaan pandangan politik memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, kita perlu menjunjung semangat kematangan, saling menghormati dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 yang berlangsung di sini, semalam.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu turut berkongsi pencapaian membanggakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana Malaysia kini berjaya meletakkan kedudukan sebagai antara 12 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global.

Pengiktirafan antarabangsa tersebut disifatkan beliau sebagai satu kejayaan besar yang wajib dihargai dan dipelihara oleh seluruh lapisan rakyat.

Mengulas mengenai penganjuran festival berkenaan, Kor Ming menyatakan penglibatan kumpulan pancaragam belia dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia, dan Hong Kong menjadi bukti jelas bahawa komuniti merentasi sempadan mampu bekerjasama secara harmoni melalui muzik sebagai bahasa sejagat.

Beliau menegaskan bahawa penarafan sesebuah bandar bertaraf dunia tidak sepatutnya diukur daripada aspek kemajuan material dan ekonomi semata-mata, malah pembangunan sektor seni, budaya, dan muzik juga memegang peranan kritikal dalam membentuk identiti persekitaran antarabangsa.

Menerusi penganjuran ini, kekayaan warisan bandar Taiping dan identiti budaya Malaysia berjaya diangkat ke pentas global.

+ - reset