TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kereta pandu lawan arus rempuh lori di Lebuh Raya KL-Karak, pemandu tersepit

By
|
Kongsi
image

BENTONG 18 Jun – Dipercayai gara-gara memandu melawan arus, seorang lelaki berusia 50-an mengalami kecederaan selepas kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer 54.7 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini, malam semalam.

Berdasarkan klip video yang tular di media sosial, kereta yang dipandu laju oleh mangsa secara melawan arus itu telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri sebuah lori jenis Isuzu yang ketika itu sedang berada di lorong kanan jalan.

Ketua Balai Bomba Bentong, Syed Moshen T. Ismail memaklumkan bahawa pihak bomba menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada pukul 9.20 malam dan segera bergegas ke lokasi kejadian. Setibanya di tempat kejadian, didapati pemandu kereta Toyota Camry berkenaan berada dalam keadaan tersepit di dalam kenderaannya.

Anggota bomba terpaksa membuat pemantauan rapi sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik dan unit kuasa. Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan dan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Syed Moshen kesal dengan sikap segelintir pengguna jalan raya apabila mendedahkan bahawa jentera bomba berdepan kesukaran dan mengalami kelewatan untuk sampai ke lokasi apabila hanya tiba pada pukul 10.03 malam akibat kesesakan teruk. Kesesakan tersebut berpunca daripada tindakan pemandu-pemandu lori yang sengaja memberhentikan kenderaan mereka di atas jalan raya semata-mata untuk melihat kemalangan tersebut.

Ekoran tindakan mementingkan diri itu, anggota bomba terpaksa turun dari jentera dan berjalan kaki sejauh kira-kira 200 meter sambil mengusung peralatan menyelamat yang berat, selain terpaksa meminta pemandu-pemandu lori terbabit mengalihkan kenderaan mereka bagi membuka laluan.

Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan sepenuhnya oleh pihak bomba pada pukul 10.29 malam dan keseluruhan operasi menyelamat tersebut dilaporkan tamat pada pukul 10.56 malam.

+ - reset