Berita Berita
Jurujual mengaku bersalah tetak penunggang motosikal guna pisau pemotong daging
SHAH ALAM 18 Jun – Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal menggunakan sebilah pisau pemotong daging di Lebuhraya Persekutuan, Selasa lepas.
Tertuduh, Azmi Jantan, 42, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Berdasarkan lembaran pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, Mohd Fairus Jaafar, 45, menggunakan sebilah pisau pemotong daging yang merupakan suatu senjata yang boleh menyebabkan kematian. Kesalahan itu dilakukan di Kilometer (KM) 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13 di sini pada pukul 8.19 pagi, 11 Jun lepas.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan tersebut dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan dia hanya bekerja sebagai jurujual dan mempunyai tanggungan seorang isteri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, berserta syarat tambahan tertuduh wajib melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
Tarikh 8 Julai depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes untuk mengemukakan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, tular sebuah klip video memaparkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk di kepala dan lengan selepas ditetak dalam satu kejadian kira-kira pukul 7 pagi di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.
Dalam insiden tersebut, mangsa yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di ibu negara dipercayai telah membunyikan hon kepada suspek kerana menghalang laluan sebelum berlaku pertengkaran mulut yang akhirnya membawa kepada insiden tetakan berkenaan.
Berita berkaitan
June 18, 2026, 12:43 pm
CEO Perbadanan Stadium Malaysia didakwa atas 7 pertuduhan rasuah RM1.45 juta
June 18, 2026, 12:05 pm
Keputusan STPM 2025: Pencapaian PNGK Nasional tertinggi dicatatkan sejak 2013
June 18, 2026, 10:35 am
UM lakar sejarah lonjak ke kedudukan ke-56 dunia dalam QS World University Rankings 2027
June 18, 2026, 10:32 am
Agong, Pemangku Sultan Johor titah jaga adab, tertib sepanjang kempen PRN - Onn Hafiz
June 18, 2026, 10:28 am
Kereta pandu lawan arus rempuh lori di Lebuh Raya KL-Karak, pemandu tersepit
June 18, 2026, 8:58 am
Dua suspek letupan landasan kereta api di India dihantar pulang dari Malaysia
June 18, 2026, 7:39 am
Faiz Na'aman dakwa Muhyiddin 'ditikam' individu yang diberi laluan mudah
June 18, 2026, 6:57 am
Wan Ahmad Fayhsal kecewa Muhyiddin gagal urus konflik, dakwa BERSATU di ambang kehancuran
June 17, 2026, 7:59 pm
