TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

CEO Perbadanan Stadium Malaysia didakwa atas 7 pertuduhan rasuah RM1.45 juta

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM1.45 juta berhubung tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bernilai RM8.7 juta.

Tertuduh, Iliyas Jamil, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Iliyas didakwa meminta rasuah wang berjumlah RM1 juta daripada Yap Yeow Kuen, 60, di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 2, Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports Center (KLSC), Sri Petaling pada 24 Februari lepas. Suapan itu sebagai balasan kerana bersetuju memilih syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd bagi memenangi tender Projek Menaik Taraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional bernilai RM8,733,197.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh pula, beliau didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM450,000 daripada individu sama sebagai upah bagi pemilihan syarikat tersebut untuk projek berkenaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat PSM dan sebuah restoran di Sri Petaling antara 25 Februari hingga 13 April lepas.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat menawarkan wang jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia atas faktor keseriusan kesalahan tersebut. Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan seperti penyerahan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali, serta perintah tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff memohon agar jumlah jaminan dikurangkan antara RM50,000 hingga RM80,000 atas alasan anak guamnya masih mempunyai tanggungan anak yang bersekolah selain statusnya kini yang telah digantung tugas.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Iliyas diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia. Hakim turut membenarkan kesemua syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan termasuk melarang tertuduh daripada mengganggu saksi kes sehingga selesai.

Tarikh 27 Julai depan telah ditetapkan oleh mahkamah sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

+ - reset