TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wan Ahmad Fayhsal kecewa Muhyiddin gagal urus konflik, dakwa BERSATU di ambang kehancuran

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan rasa kecewa yang mendalam terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya gagal menguruskan konflik dalaman parti secara rasional sehingga meletakkan BERSATU kini di ambang kehancuran.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang terus mempertahankan pendiriannya dalam kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan sahaja merugikan BERSATU, malah turut menjejaskan gabungan blok pembangkang tersebut.

"Saya hormati Tan Sri Muhyiddin sebagai seorang yang membimbing saya dalam politik sebelum ini. Tetapi apa yang beliau buat kini adalah sesuatu yang benar-benar merugikan BERSATU dan juga PN.

"Beliau masih lagi berkeras, bertegang urat dengan PAS dengan kami semua, seolah-olah beliau masih lagi Pengerusi PN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Parlimen Pembangkang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin sebelum ini bahawa BERSATU kekal bertanding menggunakan logo PN, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan hujah yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang asas yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara teknikal dan menyerahkan isu berkenaan untuk dibincangkan oleh kepimpinan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pertemuan Ahli Parlimen PN yang dihadiri oleh wakil PAS, Parti Wawasan Negara, dan Ahli Parlimen yang menyokong gabungan itu hanya membincangkan persiapan bagi menghadapi sidang Dewan Rakyat pada minggu depan serta beberapa perkembangan semasa.

Menurutnya lagi, isu pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu turut disentuh dalam pertemuan tersebut, namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat memandangkan perkara itu terletak di luar bidang kuasa Ahli Parlimen dan perlu diputuskan oleh MTPN.

Wan Ahmad Fayhsal mengulangi kekecewaannya terhadap pendekatan Muhyiddin dalam menangani krisis semasa dan melihat parti kini sedang berhadapan dengan situasi yang amat kritikal.

"Saya kecewa dengan Tan Sri Muhyiddin kerana beliau, bagi saya, sudah tidak mempunyai pertimbangan yang rasional dalam menguruskan konflik ini. Sebenarnya BERSATU sedang di ambang kehancuran. Itu pemerhatian saya," katanya.

+ - reset