TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Keputusan STPM 2025: Pencapaian PNGK Nasional tertinggi dicatatkan sejak 2013

By
|
Kongsi
image

SELAYANG 18 Jun – Seramai 1,336 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, menunjukkan peningkatan seramai 70 orang berbanding 1,266 calon pada tahun sebelumnya.

Peningkatan prestasi itu turut menyumbang kepada kenaikan PNGK Nasional kepada 2.88 tahun ini berbanding 2.85 pada STPM 2024. Pencapaian terbaharu ini sekali gus melakar sejarah sebagai rekod tertinggi negara sejak sistem penggal STPM mula diperkenalkan pada tahun 2013.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md. Taff memaklumkan bahawa PNGK nasional pada tahun ini juga menunjukkan lonjakan sebanyak 12.06 peratus jika dibandingkan dengan kadar 2.57 yang dicatatkan semasa STPM 2013.

Bukan itu sahaja, peratusan calon yang berjaya mendapat PNGK penuh 4.00 turut melonjak kepada 3.50 peratus tahun ini berbanding 3.06 peratus pada tahun lalu. Peratusan longgokan calon yang memperoleh PNGK 3.75, 3.00, 2.75 dan 2.00 ke atas juga secara keseluruhannya meningkat berbanding keputusan STPM 2024.

Antara statistik pencapaian cemerlang lain yang direkodkan bagi STPM 2025 termasuklah:

  • Bilangan calon yang memperoleh gred 5A dalam semua lima mata pelajaran yang diambil meningkat kepada 60 orang berbanding 53 orang pada 2024.

  • Bilangan calon yang memperoleh gred 4A mencatatkan peningkatan daripada 1,228 orang kepada 1,285 orang.

  • Seramai 29,616 calon atau 77.64 peratus memperoleh lulus penuh bagi empat dan lima mata pelajaran, naik daripada 76.55 peratus pada tahun lalu.

Daripada jumlah keseluruhan 40,199 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan ini, seramai 38,144 calon dilaporkan hadir. Daripada jumlah calon yang hadir itu, sebanyak 99.96 peratus atau bersamaan 38,128 calon disahkan layak untuk dianugerahkan Sijil STPM 2025.

+ - reset