Berita Berita
Harga diesel turun 30 sen kepada RM4.37 seliter mulai esok
KUALA LUMPUR 17 Jun – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 18 hingga 24 Jun ini diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter berikutan penurunan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan itu dibuat mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan kerajaan bagi menentukan harga bahan api.
Menurut kementerian itu, perkembangan positif dalam konflik di Asia Barat, termasuk petanda ke arah penyelesaian yang lebih berkekalan, telah membantu menyederhanakan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi yang dicatatkan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang berpotensi menghalang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras sebelum tercetusnya konflik tersebut.
“Antaranya termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan memaklumkan tanggungan subsidi bahan api berdasarkan harga pasaran semasa masih kekal tinggi dan diunjurkan mencecah sekitar RM3.5 bilion sebulan.
Daripada jumlah itu, subsidi RON95 dianggarkan sebanyak RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
Bagi tempoh sama, harga petrol RON97 dikekalkan pada RM4.35 seliter manakala RON95 kekal pada RM3.72 seliter.
Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI MADANI (Budi95) pada kadar RM1.99 seliter yang memberi manfaat kepada lebih 14 juta penerima layak.
Menurut kementerian itu, pada harga RON95 tanpa subsidi RM3.72 seliter, penggunaan sebanyak 200 liter sebulan melibatkan kos RM744, sekali gus menyaksikan kerajaan menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh di bawah program berkenaan.
Selain itu, harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter adalah lebih dua kali ganda berbanding harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter yang disediakan bagi mengurangkan kesan peningkatan kos terhadap rakyat menerusi sektor pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.
Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan akan terus melaksanakan bantuan serta subsidi bersasar bagi melindungi kebajikan rakyat di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Berita berkaitan
June 17, 2026, 7:46 pm
Pekerja maut dipercayai tersedut dalam tangki air ketika kerja penyelenggaraan
June 17, 2026, 6:09 pm
TDM henti serta-merta latihan baling grenad susulan insiden korban dua anggota
June 17, 2026, 5:50 pm
RTM mohon maaf siaran Perancis-Senegal di RTMKlik terganggu
June 17, 2026, 1:27 pm
Budak empat tahun maut selepas rebah di taman tema air di Sungai Buloh
June 17, 2026, 1:10 pm
Rektor UIAM dinobat Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1448H/2026
June 17, 2026, 1:05 pm
