Berita Berita
Penjawat awam, anak dua tahun cedera kemalangan dua kereta di Jalan Reko
KAJANG 18 Jun – Seorang penjawat awam lelaki bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun mengalami kecederaan selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Reko, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang mengesahkan kejadian tersebut berlaku kira-kira pada pukul 7.45 pagi. Kesemua mangsa yang terlibat termasuk seorang lagi pemandu kenderaan iaitu seorang peniaga lelaki berusia 50-an telah dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Kajang sedang menuju ke Jalan Reko, manakala sebuah lagi kereta dari arah bertentangan bertindak mahu memasuki simpang MRT Jalan Reko.
Impak daripada pelanggaran tersebut menyebabkan penjawat awam berusia 36 tahun itu bersama anaknya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sekiranya sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 bulan serta denda antara RM5,000 hingga RM10,000.
Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Bin Saadun di talian 011-21119379.
Pihak polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi mengelakkan kejadian seumpama itu daripada berulang.
Berita berkaitan
June 18, 2026, 10:43 pm
Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat
June 18, 2026, 8:26 pm
Suami Nancy Shukri meninggal dunia
June 18, 2026, 6:06 pm
Jaga-jaga, guna 'sunshade' ketika memandu boleh disaman hingga RM300 - JPJ
June 18, 2026, 5:02 pm
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan bakal perkenal hukuman lumba haram, tonto dan naikkan denda
June 18, 2026, 4:54 pm
Cacat penglihatan bukan penghalang Chwen Yih raih 4A, PNGK 4.00 dalam STPM 2025
June 18, 2026, 4:52 pm
Kanak-kanak lapan tahun hilang di Sungai Ganggarak Permai ditemukan lemas
June 18, 2026, 4:41 pm
Warga emas didakwa atas 5 pertuduhan rogol, amang seksual cucu kandung
June 18, 2026, 4:35 pm
