TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan bakal perkenal hukuman lumba haram, tonto dan naikkan denda

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 Jun – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bakal memperkenalkan hukuman khusus bagi kesalahan lumba haram serta kegiatan tonto, selain menaikkan kadar denda bagi kesalahan jalan raya yang serius.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa pindaan menyeluruh terhadap Akta 333 tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 minggu hadapan, membabitkan 11 skop utama yang merangkumi 42 fasal. Pindaan ini disifatkan sebagai yang paling menyeluruh selepas kali terakhir dipinda pada tahun 2020 yang lalu bagi mengetatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Beliau turut menambah bahawa satu lagi pindaan berasingan dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen hujung tahun nanti bagi memberi fokus kepada mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk, pemandu positif dadah, atau pemanduan melulu demi menegakkan keadilan buat mangsa.

Penguatkuasaan pintar guna teknologi ANPR

Antara fokus utama dalam pindaan kali ini termasuklah memperkasakan transformasi digital Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah penguatkuasaan konvensional. Penggunaan teknologi pintar seperti Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) akan diperluaskan bagi membolehkan pihak penguat kuasa mengesan status cukai jalan, insurans, dan rekod kenderaan secara automatik tanpa perlu menghentikan kenderaan di sekatan jalan raya.

"Kita mahu penguatkuasaan lebih pintar, cekap dan mengurangkan interaksi secara langsung antara pegawai dan pengguna jalan raya," katanya pada sesi taklimat khas media di Perbadanan Aset Keretapi (RAC), hari ini. Langkah digital ini bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan operasi, malah dapat mengurangkan persepsi negatif serta isu integriti yang sering dikaitkan dengan pemeriksaan di tepi jalan.

Banteras lumba haram dan gangguan tonto

Selain pemerkasaan teknologi, pindaan ini turut memberi tumpuan serius untuk membanteras aktiviti lumba haram serta menangani gangguan daripada kumpulan tonto yang sering mengekori atau menghalang tugas penguat kuasa. Melalui pindaan baharu ini, peruntukan undang-undang yang lebih tegas dan jelas akan diwujudkan supaya tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang mengganggu atau menggugat keselamatan pegawai penguat kuasa ketika bertugas.

Pindaan ini juga akan merangkumi aspek berkaitan mobiliti rentas sempadan serta beberapa isu pengangkutan jalan lain yang memerlukan penyesuaian mengikut perkembangan semasa.

Kenaikan kompaun serius ada tempoh peralihan dua tahun

Menyentuh mengenai cadangan untuk menaikkan kadar kompaun maksimum daripada kadar RM300 sedia ada, Loke menjelaskan bahawa kenaikan ini tidak akan melibatkan kesemua jenis kesalahan jalan raya. Sebaliknya, ia hanya akan memfokuskan kepada kesalahan tertentu yang dikategorikan sebagai serius dan sering dilakukan secara berulang, memandangkan kadar denda lama dilihat tidak lagi memberi kesan pencegahan yang mencukupi.

Bagaimanapun, sekiranya pindaan ini diluluskan oleh Parlimen, pelaksanaannya tidak akan dilakukan secara serta-merta. Pihak kementerian sedang merancang tempoh peralihan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum kadar baharu itu dikuatkuasakan sepenuhnya bagi memberi ruang yang secukupnya kepada rakyat untuk menyesuaikan diri.

RUU berkenaan dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan pertama pada Isnin depan, sebelum dibahaskan pada bacaan kedua keesokan harinya, selepas melalui proses penelitian bersama oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.

+ - reset