TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat

By
|
Kongsi
image

TUMPAT 18 Jun - Seorang remaja berusia 15 tahun menempuh detik hitam apabila dipercayai menjadi mangsa samun dan rogol oleh lelaki tidak dikenali ketika keluar berjoging bersama adik lelakinya di kawasan Palekbang di sini pada cuti Awal Muharram, Rabu.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak kira-kira pukul 11 pagi sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Rokiah berkata, cucunya keluar berjoging bersama adik lelaki yang berusia 10 tahun pada awal pagi.

Menurut wanita berusia 74 tahun itu, kedua-dua beradik berkenaan dipercayai terpisah ketika berjoging apabila cucu lelakinya tidak lagi mampu mengikut langkah kakaknya.

“Dia beritahu saya dia berasa penat dan tertinggal di belakang, dia cari kakaknya tetapi tidak jumpa dan menyangka kakaknya sudah pulang ke rumah sebelum dia pun balik.

“Kami hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada bapa mangsa sekitar tengah hari yang memaklumkan remaja tersebut ditemui berhampiran kawasan semak,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Rokiah berkata, berita berkenaan amat mengejutkan seluruh ahli keluarga yang tidak menyangka perkara sedemikian menimpa cucunya.

“Kami berharap individu yang melakukan perbuatan itu dapat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, keluarga menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan berharap tindakan segera dapat diambil terhadap suspek.

Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan taat kepada ibu bapa.

Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

+ - reset