Berita Berita
Jaga-jaga, guna 'sunshade' ketika memandu boleh disaman hingga RM300 - JPJ
KUALA LUMPUR 18 Jun - Penggunaan pelindung matahari atau sunshade pada tingkap kenderaan ketika sedang dipandu boleh mengundang tindakan saman sehingga RM300 kerana melanggar peraturan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JPJ menjelaskan semua jenis langsir, bidai atau pelindung matahari termasuk jenis magnetik, gulung dan jaring tidak dibenarkan digunakan ketika kenderaan sedang bergerak, sama ada dipasang secara kekal atau boleh ditanggalkan.
Menurut jabatan itu, walaupun pelindung matahari sering digunakan bagi mengurangkan haba dalam kabin serta memberi keselesaan kepada kanak-kanak dan penumpang di bahagian belakang, penggunaannya ketika memandu tetap tidak dibenarkan.
JPJ berkata, tanggapan sesetengah pengguna bahawa pelindung matahari boleh digunakan kerana ia boleh ditanggalkan pada bila-bila masa adalah tidak tepat kerana penggunaannya semasa kenderaan bergerak masih dianggap satu kesalahan.
Katanya, pemasangan langsir, bidai atau pelindung matahari pada tingkap boleh menjejaskan tahap penglihatan pemandu terutama di kawasan titik buta (blind spot), selain mengganggu pandangan melalui cermin sisi.
Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan risiko kemalangan di jalan raya, malah boleh menyukarkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan serta melihat keadaan di dalam kenderaan ketika sekatan jalan raya dilakukan.
Sekiranya dikenakan saman, kadar kompaun yang ditetapkan ialah RM150 jika dijelaskan dalam tempoh 15 hari pertama, RM200 bagi bayaran antara 16 hingga 30 hari dan RM300 jika dibayar dalam tempoh 31 hingga 60 hari.
Bagaimanapun, larangan tersebut hanya terpakai ketika kenderaan sedang dipandu.
Pelindung matahari masih boleh digunakan ketika kenderaan diparkir bagi mengurangkan haba dalam kabin, namun ia perlu ditanggalkan sebelum perjalanan dimulakan.
Sebagai alternatif, JPJ mengesyorkan penggunaan filem penapis haba atau cermin gelap yang mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Mengikut peraturan semasa, cermin hadapan kenderaan perlu mempunyai kadar ketelusan cahaya (Visible Light Transmission atau VLT) sekurang-kurangnya 70 peratus, manakala cermin sisi hadapan pula sekurang-kurangnya 50 peratus.
Bagi cermin penumpang belakang dan cermin belakang, tiada had minimum VLT ditetapkan.
Namun begitu, walaupun penggunaan filem penapis cahaya yang lebih gelap dibenarkan pada bahagian tersebut, penggunaan pelindung matahari jenis jaring atau mesh pada tingkap berkenaan tetap tidak dibenarkan ketika kenderaan sedang bergerak.
Berita berkaitan
June 18, 2026, 10:43 pm
Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat
June 18, 2026, 8:26 pm
Suami Nancy Shukri meninggal dunia
June 18, 2026, 5:02 pm
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan bakal perkenal hukuman lumba haram, tonto dan naikkan denda
June 18, 2026, 4:54 pm
Cacat penglihatan bukan penghalang Chwen Yih raih 4A, PNGK 4.00 dalam STPM 2025
June 18, 2026, 4:52 pm
Kanak-kanak lapan tahun hilang di Sungai Ganggarak Permai ditemukan lemas
June 18, 2026, 4:41 pm
Warga emas didakwa atas 5 pertuduhan rogol, amang seksual cucu kandung
June 18, 2026, 4:35 pm
Warden bekas tentera di MRSM: Kes buli hampir sifar, isu disiplin turun drastik
June 18, 2026, 4:20 pm
