TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

STPM 2025: 'Dengar cakap cikgu, beri perhatian 100 peratus’ – Jeremiah kongsi tips peroleh Band 5+ MUET

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SELAYANG 18 Jun - Kejayaan menguasai bahasa Inggeris tidak memerlukan seseorang itu bermula sebagai pelajar yang hebat, sebaliknya perlu dibina menerusi amalan membaca, mendengar dan menulis secara konsisten.

Itu antara pegangan Jeremiah Selva, pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Georgetown, Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan Ujian Malaysian University English Test (MUET) 2025 selepas memperoleh Band 5+.

Menurut Jeremiah, antara kunci utama kejayaannya adalah mendengar dan mengikuti setiap panduan guru, khususnya berkaitan format serta teknik menjawab soalan peperiksaan.

“Pelajar Tingkatan Enam perlu benar-benar mendengar guru kerana mereka sangat berdedikasi dan mengetahui cara yang tepat untuk menjawab soalan.

“Kadangkala kami berasa bimbang, tetapi guru mengajar supaya mengikuti format tertentu. Perkara kecil yang terlepas daripada apa yang diajar boleh menyebabkan kita melakukan kesalahan,” katanya.

Jeremiah berkata, sesiapa sahaja berpeluang menguasai bahasa Inggeris sekiranya sanggup membiasakan diri dengan bahan dalam bahasa berkenaan.

Katanya, pelajar boleh meningkatkan penguasaan dengan membaca buku dan artikel berbahasa Inggeris, melakukan latihan penulisan serta menonton filem atau dokumentari.

“Apabila menemui perkataan yang tidak diketahui, cari maksudnya. Cara itu dapat menambahkan perbendaharaan kata dan membantu kita menjawab soalan dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Jeremiah menyifatkan komponen mendengar dan membaca sebagai bahagian yang lebih mudah untuk memperoleh markah, namun pelajar perlu memberikan sepenuh perhatian ketika peperiksaan.

“Ketika ujian mendengar, pelajar perlu memberi perhatian 100 peratus. Ada bahagian yang mungkin kedengaran membosankan, tetapi kadangkala maklumat kecil itulah yang mengandungi jawapan diperlukan.

“Sekiranya memberikan perhatian sepenuhnya, pelajar sebenarnya berpeluang memperoleh markah penuh bagi kedua-dua komponen tersebut,” katanya.

Sementara itu, ibu bapanya meluahkan rasa bangga atas pencapaian Jeremiah dan percaya kebiasaan berbincang serta berbahas dalam bahasa Inggeris di rumah turut membantu meningkatkan keyakinan anak mereka menggunakan bahasa berkenaan. 

+ - reset