Berita Berita
Cacat penglihatan bukan penghalang Chwen Yih raih 4A, PNGK 4.00 dalam STPM 2025
SELAYANG 18 Jun– Kekurangan penglihatan tidak menghalang Yeoh Chwen Yih mencatat keputusan cemerlang 4A dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Pelajar St. John’s Institution, Kuala Lumpur itu dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori buta selepas memperoleh gred A dalam Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.
Chwen Yih berkata, kejayaan itu menuntut disiplin tinggi apabila dia hanya tidur kira-kira enam jam sehari dan menggunakan sebahagian besar masanya untuk menyiapkan tugasan serta mengulang kaji pelajaran.
“Biasanya saya tidur pukul 12 malam dan bangun pukul 6 pagi. Selepas pulang dari sekolah, saya akan berehat kira-kira setengah jam untuk ‘power nap’.
“Selepas itu, saya akan menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji sehingga pukul 12 malam,” katanya ketika ditemu bual selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Malaysian University English Test (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Bagi Warga Asing (SKBMW) Tahun 2025.
Menurutnya, proses pembelajaran bagi individu cacat penglihatan banyak bergantung kepada penggunaan buku teks Braille, komputer riba dan perisian yang mampu membacakan bahan berbentuk digital.
Dia turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantunya mendapatkan maklumat yang ditulis guru pada papan putih ketika sesi pembelajaran.
“Kalau guru menulis pada papan putih tetapi tidak menerangkannya, saya akan meminta bantuan rakan. Kadang-kadang mereka akan mengambil gambar tulisan berkenaan.
“Selepas itu, saya menggunakan AI untuk mengimbas gambar tersebut dan menukarkannya kepada bentuk yang boleh saya akses,” ujarnya.
Chwen Yih berkata, rakan sekelas dan guru turut memainkan peranan besar dalam membantunya menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pengajian.
Katanya, guru di sekolahnya sentiasa memahami keadaan yang dihadapi selain bersedia memberi bantuan termasuk ketika dia memerlukan kelas tambahan.
Mengulas perancangan masa depan, Chwen Yih berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang peguam walaupun turut mempunyai minat dalam bidang perniagaan.
“Saya sebenarnya lebih berminat kepada perniagaan, tetapi bidang itu melibatkan banyak angka. Dalam bidang perundangan pula, seseorang individu dinilai berdasarkan kecekalan dan pemikiran strategik.
“Jadi, saya merasakan bidang undang-undang memberi lebih banyak peluang kepada saya untuk bersaing dengan individu lain,” katanya.
Dia turut menasihatkan pelajar yang berhasrat memilih Tingkatan Enam supaya bersedia menghadapi cabaran kerana STPM bukanlah laluan yang mudah, namun menawarkan sijil akademik yang berkualiti tinggi.
Berita berkaitan
June 18, 2026, 10:43 pm
Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat
June 18, 2026, 8:26 pm
Suami Nancy Shukri meninggal dunia
June 18, 2026, 6:06 pm
Jaga-jaga, guna 'sunshade' ketika memandu boleh disaman hingga RM300 - JPJ
June 18, 2026, 5:02 pm
Pindaan Akta Pengangkutan Jalan bakal perkenal hukuman lumba haram, tonto dan naikkan denda
June 18, 2026, 4:52 pm
Kanak-kanak lapan tahun hilang di Sungai Ganggarak Permai ditemukan lemas
June 18, 2026, 4:41 pm
Warga emas didakwa atas 5 pertuduhan rogol, amang seksual cucu kandung
June 18, 2026, 4:35 pm
Warden bekas tentera di MRSM: Kes buli hampir sifar, isu disiplin turun drastik
June 18, 2026, 4:20 pm
