TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan perkukuh pemuliharaan biodiversiti menerusi pendekatan senegara - Fadillah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Jun – Kerajaan memperkukuh usaha memelihara khazanah biodiversiti negara menerusi pendekatan senegara atau whole-of-nation yang menekankan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, kerajaan negeri serta pelbagai pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara lebih berkesan serta mampan.

"Kerjasama antara PERHILITAN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) menjadi contoh pendekatan bersepadu dalam membanteras jenayah hidupan liar serta melindungi khazanah biodiversiti negara.

"Saya turut berharap semangat kerjasama yang sama terus diperkukuh dalam memastikan agenda biodiversiti negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan," katanya.

Perkara itu dinyatakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara Keempat (MBN Ke-4) hari ini, menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Mesyuarat tersebut membincangkan hala tuju serta strategi pemuliharaan biodiversiti negara menerusi pembentangan tiga kertas pertimbangan dan empat kertas makluman.

Antara keputusan utama yang dipersetujui ialah pembangunan Kerangka Kebangsaan Kaedah-Kaedah Lain yang Berkesan bagi Pemuliharaan Berlandaskan Kawasan (OECM), yang merangkumi kriteria, mekanisme pengiktirafan dan struktur tadbir urus OECM di Malaysia.

Mesyuarat itu turut bersetuju mengenai hala tuju mitigasi dan pengurusan populasi gajah liar di Johor bagi memperkukuh usaha menangani konflik manusia dan gajah, selain melestarikan khazanah asam batu negara melalui aktiviti pemuliharaan spesies Begonia herveyana di Melaka.

Pada masa sama, MBN Ke-4 mengambil maklum beberapa inisiatif dan pencapaian penting dalam bidang pemuliharaan biodiversiti negara, termasuk penyediaan Laporan Kebangsaan Ke-7 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (7NR) serta pelbagai usaha konservasi hidupan liar yang dilaksanakan oleh PERHILITAN.

Turut diketengahkan ialah inisiatif biodiversiti bandar melalui penanaman spesies pokok asli Malaysia di kawasan pinggiran jalan dan program pemuliharaan serta pemantauan burung pantai hijrah yang dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Dalam perkembangan sama, Fadillah turut melancarkan Laporan Kebangsaan Ketujuh yang telah dikemukakan Malaysia kepada Sekretariat Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada 28 Februari lalu.

Laporan itu merupakan dokumen rasmi negara yang merekodkan kemajuan pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030 serta usaha Malaysia dalam memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).

"Penyediaan laporan itu mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh pelaksanaan agenda biodiversiti negara.

"Laporan ini boleh diakses melalui antara muka (interface) baharu Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS) menerusi www.mybis.gov.my yang turut dilancarkan hari ini," menurut kenyataan itu.

+ - reset