Berita Berita
Kerajaan tubuh Majlis Tahfiz Negara, perkasa masa depan pelajar tahfiz
KUANTAN 19 Jun – Kerajaan Persekutuan meluluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara sebagai langkah penting bagi menyelaras hala tuju pendidikan tahfiz, termasuk model pembelajaran, standard pengiktirafan dan laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan penubuhan majlis itu dibuat dalam Mesyuarat Kabinet minggu lalu, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melantik beliau sebagai Pengerusi Majlis Tahfiz Negara.
Katanya, pendidikan tahfiz perlu dilihat sebagai satu laluan pendidikan yang mempunyai prospek luas dan diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.
"Oleh itu, saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.
"Saya mahu anak-anak tahfiz mampu bergerak dari madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz Pahang 2026 di perkarangan Rumah Pahang, Kompleks Yayasan Pahang di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Lebih 5,000 huffaz dari seluruh Pahang menghadiri himpunan yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Pahang itu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pahang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), selain antara Yayasan Pahang dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Turut berlangsung penyerahan surat tawaran Program Kolaborasi MARA dan Yayasan Pahang.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menghargai usaha Kerajaan Pahang, Yayasan Pahang serta pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem pendidikan tahfiz yang lebih tersusun di negeri itu.
Menurut beliau, Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan sebagai satu laluan ilmu yang lengkap dan bersepadu.
"Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa.
"Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada al-Quran sejak usia awal diterjemahkan di Pahang melalui ilham Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.
"Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz.
"Lebih membanggakan, model ini tidak terhenti di Pahang. Melalui kerjasama Yayasan Pahang dan KEMAS sejak 2023, Modul Tadika Tahfiz Negeri Pahang disebarluaskan ke TABIKA KEMAS seluruh negara dengan pembabitan 146,390 kanak-kanak dalam program `huffaz cilik' ini melalui 9,745 TABIKA KEMAS," katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan pendidikan al-Quran yang dirancang dengan visi jelas mampu membentuk generasi yang bukan sahaja dekat dengan al-Quran, malah memiliki adab, disiplin dan kecintaan terhadap ilmu.
"Saya juga menyambut baik usaha MARA yang membuka banyak ruang pendidikan kepada anak-anak tahfiz ini khususnya dengan kerjasama bersama Yayasan Pahang bagi meluaskan akses pendidikan tahfiz terbaik di dalam dan luar negara.
"Inilah bentuk sinergi yang kita perlukan apabila negeri, agensi persekutuan dan institusi pendidikan bergerak bersama untuk membina masa depan anak-anak huffaz dengan lebih bermakna," katanya.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 12:26 pm
Tindakan undang-undang PKR terhadap Rafizi, Nik Nazmi diserahkan kepada peguam parti
June 19, 2026, 12:13 pm
DBKL sita 13 gerai warga asing termasuk pemegang kad UNHCR di Selayang
June 19, 2026, 11:33 am
Dua melecur, seorang sesak nafas dalam kebakaran rumah sewa di Bukit Baru
June 19, 2026, 9:39 am
Kerajaan perkukuh pemuliharaan biodiversiti menerusi pendekatan senegara - Fadillah
June 18, 2026, 10:43 pm
Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat
June 18, 2026, 8:26 pm
