Berita Berita
'Kelulusan dibuat selepas saya tinggalkan kementerian' - Nik Nazmi nafi kaitan dakwaan bayaran RM53 juta pindah Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji
KUALA LUMPUR 19 Jun – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan beliau dengan sebarang amalan rasuah berhubung pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke sebuah zoo di Jepun.
Beliau menyifatkan tuduhan yang mengaitkan dirinya dan bekas pejabatnya sebagai tidak berasas serta mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjelaskan perkara tersebut.
"Setakat yang melibatkan saya, saya boleh menafikan sepenuhnya bahawa pejabat saya atau saya sendiri terlibat dalam sebarang amalan rasuah berhubung perkara ini.
"Jika mereka mahu membuat aduan, itu tidak mengapa. SPRM atau mana-mana pihak lain harus diberikan ruang untuk menyiasat perkara ini," katanya kepada New Straits Times.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kumpulan hak hidupan liar yang mendakwa bayaran hasil pemindahan tiga ekor gajah dari Malaysia ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun tidak dimasukkan ke dalam tabung kerajaan, sebaliknya disalurkan kepada individu tertentu.
Peguam Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP), Sachpreetraj Singh Sohanpal sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya berhasrat membuat aduan kepada SPRM berhubung pemindahan tiga gajah terbabit iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke Zoo Tennoji, namun tidak dibenarkan memasuki ibu pejabat suruhanjaya itu.
Malah, sejumlah RM53 juta didakwa telah disalurkan kepada individu tertentu dan bukannya kepada entiti kerajaan, selain mendakwa beberapa pihak termasuk pegawai jabatan bakal berdepan pertuduhan.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata walaupun perbincangan awal mengenai pemindahan gajah berkenaan bermula ketika beliau masih memegang jawatan menteri, kelulusan akhir hanya diberikan selepas beliau meninggalkan kementerian pada Julai 2025.
"Walaupun perbincangan bermula ketika saya masih memegang jawatan, kelulusan diberikan selepas saya tidak lagi memegang jawatan. Keputusan muktamad dibuat selepas Julai 2025," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa urusan tersebut bukan melibatkan penjualan hidupan liar secara komersial, sebaliknya pemindahan rentas sempadan yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa.
"Ia bukan satu jualan. Hak milik dan sebagainya masih berkaitan dengan Zoo Taiping. Terdapat beberapa maklumat yang tidak tepat sedang tersebar. Apabila hidupan liar dipindahkan keluar dari Malaysia, kerajaan perlu memberikan persetujuan.
"Ia merupakan pemindahan dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji," katanya.
Menurut beliau, perjanjian itu dimeterai antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji, bukannya perjanjian secara langsung antara kerajaan Malaysia dan Jepun.
"Bagaimanapun, kerana urusan itu melibatkan pemindahan hidupan liar ke luar negara, kelulusan akhir perlu diperoleh daripada PERHILITAN dan kementerian.
"Banyak perbincangan telah diadakan antara kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan." katanya.
Ketika ditanya mengenai pihak yang meluluskan pemindahan tersebut, Nik Nazmi menjelaskan keputusan akhir memerlukan kelulusan menteri, namun menegaskan ia tidak berlaku ketika beliau masih menerajui kementerian berkenaan.
"Saya tidak ingat butiran tepatnya, tetapi ia sememangnya berlaku selepas tempoh saya," katanya.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 12:26 pm
Tindakan undang-undang PKR terhadap Rafizi, Nik Nazmi diserahkan kepada peguam parti
June 19, 2026, 12:13 pm
DBKL sita 13 gerai warga asing termasuk pemegang kad UNHCR di Selayang
June 19, 2026, 11:33 am
Dua melecur, seorang sesak nafas dalam kebakaran rumah sewa di Bukit Baru
June 19, 2026, 10:49 am
Kerajaan tubuh Majlis Tahfiz Negara, perkasa masa depan pelajar tahfiz
June 19, 2026, 9:39 am
Kerajaan perkukuh pemuliharaan biodiversiti menerusi pendekatan senegara - Fadillah
June 18, 2026, 10:43 pm
Remaja 15 tahun dipercayai disamun, dirogol ketika keluar berjoging di Tumpat
June 18, 2026, 8:26 pm
