TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat bising guna 'sunshade' ketika memandu boleh disaman sehingga RM300, ini penjelasan Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan jalan raya mengikut akta dan peraturan sedia ada, namun penguatkuasaan ketika ini lebih tertumpu kepada kesalahan yang memberi risiko besar kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun pemasangan aksesori pelindung cahaya matahari atau sunshadeboleh dikenakan tindakan mengikut peraturan sedia ada, ia bukan antara fokus utama penguatkuasaan JPJ pada masa ini.

"Ada banyak (kesalahan jalan raya) tetapi lebih banyak perkara kritikal terhadap keselamatan (yang menjadi keutamaan JPJ). Ia bukan tidak penting tetapi perkara-perkara sebegini bukan keutamaan.

"Keutamaan kita adalah seperti lumba haram, pemandu mabuk, memandu secara haram, rempit yang membahayakan orang lain. Kita memang ada peraturan itu (terhadap tindakan memasang 'sunshade') tetapi tidaklah sehingga menakut-nakutkan orang lain. Sekarang juga cuaca panas, jadi faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat khas media berhubung Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 di sini, hari ini.

Anthony mengulas isu penggunaan sunshade yang menjadi perdebatan selepas terdapat dakwaan bahawa pemasangan aksesori itu boleh mengganggu pandangan pemandu dan menjejaskan keselamatan jalan raya.

Terdahulu, kenyataan JPJ yang menjelaskan pemasangan sunshade tidak mengikut spesifikasi ditetapkan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 turut mengundang reaksi netizen.

Mengulas lanjut, beliau berkata JPJ setakat ini tidak pernah mengeluarkan saman terhadap pengguna kenderaan semata-mata kerana memasang sunshade.

"Bagaimanapun, sekiranya anda tanya pengarah JPJ negeri, dia mesti akan jawab. Dia tidak boleh jawab peraturan ini tiada kerana ia sememangnya ada. Itulah situasi sebenar isu (sunshade) ini," katanya.

+ - reset