TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

DBKL sita 13 gerai warga asing termasuk pemegang kad UNHCR di Selayang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan 13 tindakan sita dan pindah barangan ke atas peniaga warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang, semalam.

Tindakan tegas itu turut melibatkan peniaga warga asing yang menggunakan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan diri mereka.

DBKL menerusi satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan bahawa operasi pemeriksaan tersebut dijalankan ke atas pelbagai aktiviti perniagaan termasuk penjualan barangan am, barang runcit, barangan basah, buah-buahan, serta sayur-sayuran.

"Hasil serbuan mendapati, empat notis kompaun serta 13 tindakan sita dan pindah barangan terhadap perniagaan dikendalikan tanpa lesen yang sah oleh orang bukan warganegara. Ini termasuk yang menggunakan kad pelarian dari UNHCR sebagai dokumen pengenalan," jelas kenyataan itu.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil mengikut kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016.

Kesemua barangan serta peralatan perniagaan yang telah disita dalam operasi berkenaan kini dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan tindakan susulan dan dokumentasi lanjut.

Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan akan terus melaksanakan tindakan tegas serta pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti. Dalam masa sama, DBKL turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya mengesan sebarang aktiviti perniagaan tanpa lesen di ibu negara.

+ - reset